Pilih Bahasa

Rakyat mula sedar menabung demi pendidikan anak

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Nizam (berdiri, tujuh dari kiri) dan Wan Saiful (berdiri, enam dari kiri) bergambar kenangan bersama murid asnaf yang menerima sumbangan simpanan SSPN-i. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencatatkan sebanyak 211,354 akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dibuka dengan deposit berjumlah RM133.5 juta di Sabah.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 27,016 akaun dengan deposit berjumlah RM19.7 juta adalah penyimpan bagi Parlimen Tawau dan Kalabakan.

Beliau berkata membina budaya menabung dalam kalangan rakyat Malaysia bukan perkara mudah terutama apabila masyarakat mengenali PTPTN lebih kepada agensi yang memberi pinjaman dan mengutip hutang.

“Kita cuba menukar budaya masyarakat daripada meminjam kepada menabung dengan mencari alternatif bagi memastikan maklumat berkaitan menabung dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira di mana mereka berada.

“Alhamdulillah, peningkatan jumlah simpanan dan bilangan akaun SSPN yang dibuka dari tahun ke tahun jelas menunjukkan rakyat Malaysia mula sedar kepentingan membuat perancangan kewangan demi memastikan cita-cita melihat kejayaan anak-anak melanjutkan pengajian tercapai,” katanya dalam Program Jelajah SSPN peringkat Parlimen Tawau dan Kalabakan di sini, hari ini.

Rina Jainal (empat dari kiri) wakil Parlimen Kalabakan menerima sumbangan SSPN untuk diserahkan kepada murid asnaf. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Majlis perasmian program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang turut dihadiri wakil guru dan murid diseluruh daerah ini.

Dalam pada itu beliau berkata seramai 80 murid asnaf Parlimen Tawau dan Kalabakan turut menerima sumbangan simpanan akaun SSPN-i berjumlah RM8,000 melalui peruntukan dana daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN.

“Setiap pelajar akan menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

“Selain untuk membantu golongan asnaf, ini juga adalah satu bentuk galakan untuk memulakan penabungan,” katanya.

Nizam (tiga dari kiri) merasmikan Program Jelajah SSPN Peringkat Parlimen Tawau dan Kalabakan. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Sementara itu, Nizam ketika ditemui mengucapkan penghargaan kepada pihak PTPTN yang mengambil inisiatif berkenaan bagi membantu kanak-kanak di daerah ini.

Beliau turut menyeru ibu bapa yang belum mempunyai perancangan kewangan pendidikan memulakan langkah menabung demi kesenangan anak mereka kelak.

“Usaha PTPTN melalui program seperti ini harus diberi sokongan dan dijalankan secara berterusan kerana setiap tahun ramai pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat tinggi namun disebabkan masalah kewangan mereka terpaksa batalkan hasrat.

“Tapi dengan adanya PTPTN ini dapat menjelaskan kepada ibu bapa bahawa anak mereka ada ruang untuk melanjutkan pelajaran melalui perkhidmatan PTPTN,” jelasnya. – SabahNewsToday