Pilih Bahasa

Rakyat perlu kekal bersatu untuk Sabah laksana perubahan MA63 – Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 1 Jan (Bernama) — Rakyat di negeri ini harus kekal bersatu walaupun berbeza fahaman politik, agama dan etnik bagi membolehkan Kerajaan Negeri meneruskan usaha melakukan perubahan terhadap apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mohd Shafie mewakili rakyat Sabah menyampaikan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada Tun Juhar di Istana Negeri hari ini. Gambar SNT/Ehsan JKM

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri telah berbincang dengan Kerajaan Persekutuan bagi menuntut semula hak-hak negeri di bawah MA63.

“Saya percaya ini akan mengambil sedikit masa kerana ia membabitkan isu teknikal dan undang-undang yang memerlukan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Ini termasuklah tuntutan untuk meningkatkan royalti minyak dan gas serta usaha membolehkan lebih banyak penglibatan negeri dalam soal berkaitan pendidikan dan kesihatan yang kini di bawah bidang kuasa persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Lafaz Sumpah Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-10, Tun Juhar Mahiruddin untuk penggal ketiga di Istana Negeri di sini, hari ini.

Tun Juhar, 65, sebelum ini dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 pada 1 Jan 2011 menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah dan seterusnya dilantik menjawat jawatan sama bagi penggal kedua pada 1 Jan 2015.

Mohd Shafie bersama isteri Datin Seri Panglima Hajah Shuryani Shuaib (kanan sekali) bergambar kenangan dengan Tun Juhar dan isteri Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah R.M. Jasni (dua dari kanan) selepas Istiadat Lafaz Sumpah di Istana Negeri hari ini. Gambar SNT/Ehsan JKM

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri (TYT) Sabah yang selama ini dihadkan kepada dua penggal.

Mohd Shafie berkata memasuki 2019, beliau melihat tahun yang lebih cerah untuk Sabah melakukan perubahan yang ditunggu-tunggu sekian lama oleh rakyat.

“Kerajaan Negeri juga komited untuk melakukan perubahan dan kita akan meneruskan perubahan itu demi manfaat Sabah baharu dan Malaysia baharu,” katanya.

Menurutnya walaupun ekonomi dunia diramalkan agak perlahan, ekonomi Sabah akan membangun dengan lebih sihat menerusi inisiatif baharu yang akan dilaksanakan untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata ini termasuk menggalakkan lebih banyak pelaburan di Sabah yang turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Justeru, katanya, tumpuan diberikan untuk menyediakan lebih banyak latihan kemahiran untuk anak muda supaya dapat memenuhi keperluan tenaga kerja dalam pelbagai industri.

— BERNAMA