Pilih Bahasa

Rakyat Sabah diajak pelihara budaya agar tidak terhakis

Perutusan Ketua Menteri YAB Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sempena Perayaan Pesta Kaamatan 2019

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal Gambar SNT/Ihsan JKM

Sempena perayaan pesta Kaamatan 2019, saya, isteri dan keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan pesta Kaamatan, kepada seluruh  rakyat di Sabah.

Seperti yang kita semua maklum, Kaamatan adalah sambutan tradisi masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) sebagai tanda kesyukuran terhadap hasil tuaian padi. Sebagai salah satu perayaan terbesar di negeri ini, Kaamatan mampu menjadi satu wadah perpaduan bagi rakyat Sabah kerana ia disambut oleh semua pihak tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama.

Untuk menghayati Kaamatan dalam konteks sebenar, marilah kita mengambil peluang ini untuk berterima kasih terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Tuhan. Di Sabah, kita perlu bersyukur kerana kita terus hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni. Walaupun terdapat golongan tertentu yang cuba mewujudkan sentimen perkauman, tetapi ikatan perpaduan kekal utuh, dan kita berupaya menangkis segala ancaman daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana, amalan hormat menghormati kepelbagaian budaya antara kita telah menjadi tunjang kepada perpaduan unik Negeri Di Bawah Bayu.

Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak seluruh rakyat di Sabah agar sentiasa memelihara adat dan budaya kita agar tidak terhakis. Di samping mengejar kekayaan dan kemodenan, janganlah lupa untuk mengamalkan budaya dan istiadat warisan nenek moyang kita.

Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan’

DATUK SERI PANGLIMA HAJI MOHD SHAFIE HAJI APDAL