Pilih Bahasa

Rakyat Sabah diberi keutamaan isi kekosongan jawatan guru

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jenifer (tengah) menyertai para guru baharu dan guru interim menunjukkan surat penempatan semasa Majlis Taklimat Penempatan Guru Baharu dan Guru Interim Sekolah Menengah 2018. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Ramai guru kelahiran Sabah kini berpeluang mengisi kekosongan jawatan guru di seluruh negeri terutama di daerah luar bandar menerusi dasar Kementerian Pendidikan yang membenarkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melantik guru interim secara terbuka.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, langkah kementerian itu bukan sahaja menunjukkan bahawa mereka ingin bersama-sama merealisasikan dasar tersebut tetapi dalam masa sama menampung keperluan guru di daerah yang sangat memerlukan.

“Kerajaan negeri merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan apabila membenarkan JPN Sabah melantik guru interim secara pasaran terbuka. Pada masa ini, bilangan tenaga pendidik kelahiran tempatan adalah seramai 35,851 orang atau 86.77 peratus.

“Kita yakin, Jabatan Pendidikan Negeri semakin hampir untuk mencapai misi 90 peratus guru tempatan pada tahun ini,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Pembantunya, Jenifer Lasimbang, sempena Majlis Taklimat Penempatan Guru Baharu dan Guru Interim Sekolah Menengah 2018 di sini hari ini.

Seramai 305 guru yang terdiri daripada anak tempatan menerima surat penempatan mereka untuk berkhidmat di beberapa buah sekolah rendah dan menengah di Sabah bermula tahun ini.

Dalam majlis itu, seramai 261 adalah guru baharu dan 44 orang pula adalah guru interim sekolah menengah yang dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan.

Dr. Yusof berkata, sehingga Julai lalu seramai 23,273 orang atau 88.75 peratus adalah guru sekolah rendah manakala 12,578 orang atau 83.33 peratus adalah guru sekolah menengah

Beliau berkata, usaha menempatkan guru kelahiran Sabah merupakan langkah berterusan JPN bagi memenuhi Dasar 90:10 2016 hingga 2018 dengan matlamat untuk mencapai 90 peratus guru di Sabah adalah anak-anak tempatan dalam tempoh tiga tahun bermula 2016 sehingga 2018.

“Penempatan ini juga adalah mengambil kira kekosongan perjawatan dan telah diluluskan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) dan keperluan opsyen di sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Yusof berharap agar para guru yang dilantik itu dapat melaksanakan amanah dalam mendidik anak-anak bangsa dengan penuh integiriti.

“Apabila kita telah diberi peluang gunakanlah ia sebaiknya. Maksudnya jadilah pendidik sejati yang akan bertugas di mana sahaja anda ditempatkan.

“Kita sangat bersyukur atas peluang ini, kerana masih ramai mungkin dalam kalangan rakan-rakan anda yang masih mencari peluang bekerja tetapi anda semua telah memperolehinya,” ujarnya sambil mengingatkan guru agar sentiasa mengamalkan Etika Profesion Perguruan dan mematuhi segala peraturan yang termaktub dalam Akta Pendidikan serta Perintah Am. – SabahNewsToday