Pilih Bahasa

Rakyat Sabah diminta jadi benteng tolak politik perkauman – Hajiji

PAPAR: Ketua Penyelaras Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor menyeru agar rakyat di Sabah menjadi benteng bagi menolak sebarang tindakan atau pendekatan yang membawa unsur politik perkauman ekstrem di negeri ini.

Beliau berkata sejak sekian lama Sabah diiktiraf sebagai model keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia dan kemajmukan masyarakat Sabah dengan lebih 30 kumpulan etnik dan 50 bahasa tidak pernah menjadi penghalang untuk hidup bersama dengan aman dan damai.

Datuk Seri Hajiji Noor. Gambar Fail SNT

“Keunikan dan keistimewaan ini perlu dipelihara dan dihargai oleh setiap rakyat di Sabah. Selain mengekalkan amalan saling mengiktiraf, menerima dan menghormati di antara satu kaum dengan kaum yang lain, masyarakat Sabah perlu sentiasa mengamalkan pendekatan kesederhanaan (moderate) dan mengelakkan ekstremisme, termasuk dalam gerakan politik.

“Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi punca kita tidak boleh hidup bermasyarakat dan berpecah belah. Perkara malang ini boleh berlaku sekiranya kita membenarkan politik perkauman ekstrem membiak dan menjadi penyakit di Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis jelajah Bersatu di bahagian Kimanis dekat sini, hari ini.

Beliau berkata terdapat pihak di luar Sabah yang cenderung mengapi-apikan politik perkauman yang melampau dan ia perlu dijauhi.

“Faktor kaum dijadikan modal politik untuk membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat dan sekali gus mengharapkan pulangan dalam bentuk sokongan politik. Sememangnya tidak ada salahnya untuk memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing sebagaimana Bersatu menjadi wadah untuk kaum pribumi.

“Namun yang merisaukan apabila setiap perkara dijadikan isu politik perkauman. Lebih dahsyat lagi wujud kecenderungan untuk sengaja mencipta isu perkauman yang boleh menggugat perpaduan rakyat dan menanam kebencian di antara kaum yang berbeza,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menerima 700 borang keahlian baharu bagi Bersatu Bahagian Kimanis.

“Bersatu hanya kira-kira lima bulan bertapak di Sabah, namun penerimaan rakyat sangat menggalakkan dan kita yakin bersatu akan menjadi kuat dan menjadi parti dominan di negeri ini,” katanya.– BERNAMA