Pilih Bahasa

Rakyat Sabah diminta sentiasa patuhi Perintah Kawalan Pergerakan – Ketua Menteri

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah mengaktifkan Command Centre melalui Jawatankuasa Bencana Negeri mulai 12 Mac lalu yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata jawatankuasa tersebut turut diaktifkan di semua daerah yang akan dipengerusikan Pegawai Daerah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Ihsan JKM

Menurut beliau, kerajaan negeri mengharapkan kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk membekalkan data-data terkini dan terperinci berkatan dengan wabak Covid-19 agar langkah-langkah diambil dengan cepat.

“Saya merayu kepada semua rakyat Sabah agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan tersebut.

“Ini adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga, masyarakat, negeri dan negara kita,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Langkah itu adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dengan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac ini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344).

Larangan itu bagi semua pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negeri termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Untuk menguatkuasakan larangan itu semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac lalu.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri juga telah melaksanakan sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Sabah ke luar negara, namun bagi yang baharu pulang dari luar negara mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

Begitu juga penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, berasrama penuh, antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti serta institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta.

Sementera itu katanya, semua acara rasmi kerajaan negeri dan berkepentingan adalah ditangguhkan dan dibatalkan termasuk Pesta Kaamatan, Pesta Kalimaran dan Lepa-Lepa.

Selain itu, Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sabah juga telah mengambil ketetapan bahawa semua aktiviti di masjid dan surau di seluruh negeri termasuk solat Jumaat dan berjemaah tidak diadakan selama 10 hari mulai 17 hingga 26 Mac 2020 bagi operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan mengelakjan jangkitan. – SabahNewsToday