Pilih Bahasa

Rakyat Sipitang digesa ambil peluang dalam bidang keusahawanan

SIPITANG: Rakyat di sini diminta membuat persediaan awal bagi mengambil peluang yang ada dalam pelbagai bidang keusahawanan termasuk bidang pertanian bagi memenuhi permintaan mendatang selari dengan pembangunan semasa yang semakin berkembang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata Sipitang akan berkembang maju kerana ianya jalan masuk daripada Sarawak, Brunei dan pada masa akan datang juga jalan akan disambung ke Indonesia.

Dr Yusof ketika berucap merasmikan Kursus Teknologi Penanaman Secara Fertugasi di Kg Ketipoh Sipitang.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Sindumin

“Selain itu, kita ada pembinaan lebuhraya Pan Borneo. Sudah tentu Sipitang ini akan menjadi pekan tumpuan. Kita juga ada Sogip (Sipitang Oil & Gas Industrial Park).

“Jadi pada masa akan datang Sipitang ini akan bertambah penduduknya dengan adanya Industri. Oleh itu rakyat Sipitang harus melihat potensi ini.

“Salah satu potensi yang mempunyai masa depan yang begitu baik ialah penyediaan bahan-bahan mentah seperti sayur-sayuran dan bekalan ikan serta keperluan harian yang lain,” katanya.

Beliau berkata usaha perlu dibuat mempersiapkan generasi masa kini untuk mencari kaedah bagaimana bertani secara efisien, bersih dan teratur serta tidak ada keraguan dari segi penyediaan misalnya penggunaaan baja, racun serangga mengikut peraturan-peraturan yang tertentu yang akan memberi keyakinan kepada pengguna untuk membeli bekalan dari Sipitang.

“Sebab itu daripada awal kita ingin mendisiplinkan pengusaha-pengusaha atau petani-petani ini mengikut cara yang betul dan lebih produktif daripada cara lama,” katanya.

Dr Yusof berkata pertanian kontan atau jangka pendek mempunyai potensi pertanian yang sangat besar.

Sehubungan itu katanya pengusaha juga perlu memikirkan bukan sekadar pasaran tempatan tetapi juga untuk pasaran luar seperti Sarawak dan Brunei.

“Brunei akan mempunyai permintaan yang tinggi, Sarawak juga begitu. Jadi kita ingin menyediakan awal supaya orang-orang di Sarawak dan Brunei yakin bekalan itu ada di sini.

Sebahagian daripada peserta yang mengikuti Kursus Teknologi Penanaman Secara Fertigasi anjuran Persatuan Usawahanita Sipitang (Unita) dengan kerjasama Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) di Sipitang.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Sindumin

“Kita mahu pengusaha melihat jauh ke hadapan dan berupaya membekalkan secara berterusan, konsisten dari segi kuantiti dan kualiti yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kursus Teknologi Penanaman Secara Fertigasi di Tapak Borneo Sipitang 4×4 Advanture Land, Kg Ketipoh di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pegawai Daerah Sipitang, Matlin Dullah, Ketua Daerah Sipitang OKK Kamis Daming, Pegawai Pembangunan Masyarakat, Pg Mohd Yacob Pg Omar, Mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah, Datuk Siti Sapoo Ahok, Pegawai Penyelidik Kanan, Rina Singkina, Pengerusi Unita, Haslinda Hadis dan para pemimpin masyarakat setempat.

Seramai 61 peserta mengikuti kursus anjuran Persatuan Usawahanita Sipitang (Unita) dengan kerjasama Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) itu.

Dr Yusof yang juga Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah, turut mengingatkan agar perlunya ada usahawan yang menceburi industri sokongan dan industri hiliran.

“Maksudnya bila fertigasi ini kita kembangkan, kita mahu ada juga di kalangan mereka ini yang menyediakan misalnya polybag, baja dan sebagainya. Kita tidak mahu bergantung kepada orang luar.

“Kemudian hasil tanaman itu pula, disamping pasaran yang ada, bagaimana sekiranya ada lambakan, ke mana untuk dipasarkan. Perlunya juga ada industri hiliran contohnya lada, kalau terlalu banyak, bagaimana kita proses jadi sambal, jadi sos lada atau menjadikannya lada kering,” katanya sambil menambah usahawan haruslah sering melengkapi.

“Kita tidak mahu semua orang tanam lada jadi lada berlambak. Jadi ini semua kena kita bincangkan. Sebagai Adun di sini, saya mengambil berat tentang hal ini dan mempastikan bahawa ekonomi setempat, maknanya rakyat ini pendapatan mereka meningkat dengan adanya usaha seperti ini. Inilah harapan saya,” katanya.-SabahNewsToday