Pilih Bahasa

Rakyat yakin Kabinet baharu mampu bawa pembaharuan

Oleh Jeiilnyly Masal dan C. Vinoothene

Bernama

KUALA LUMPUR, 10 Mac — Rakyat yakin barisan Jemaah Menteri yang baharu dilantik Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan pelbagai pengalaman dan kepakaran, dilihat mampu membawa pembaharuan kepada negara.

Seorang pekerja syarikat e-dagang Theeba Letchumi, 28, berkata kita boleh rasa selamat dan yakin dengan adanya mereka di dalam Kabinet, kerana mereka ini berhadapan dengan perniagaan harian dan aspek sosial, yang tentunya akan menyumbang kepada pekembangan negara.

Katanya, pelantikan teknokrat terkemuka Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan, serta ilmuan dan pakar agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al–Bakri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), serta ahli akademik Dr Mohd Radzi Md Jidin (Menteri Pelajaran), telah memberikan lebih keyakinan kepadanya yang pentadbiran negara berada di landasan yang betul.

Bagi suri rumah Zainab Mustafa, 50, pula barisan Jemaah Menteri kali ini adalah istimewa baginya, kerana ianya lebih segar dan menampilkan ramai muka baharu.

“Kabinet ramai yang berkaliber dan berpengalaman … saya sokong dan harap mereka boleh buat kerja dengan bagus,” katanya.

Mohd Rizal Ahmad, 62, pula berkata barisan Kabinet yang diisi dengan ramai muka baharu, meliputi pelbagai parti politik, termasuk dari Sabah dan Sarawak adalah satu langkah yang tepat.

Beliau berkata tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut melantik “orang bukan politik” seperti Tengku Zafrul bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Berhad, serta Zulkifli, yang merupakan bekas Mufti Wilayah Persekutuan diharapkan dapat membawa nafas baharu dalam pentadbiran negara.

Beliau turut memuji tindakan Muhyiddin melantik empat menteri kanan, daripada mewujudkan jawatan timbalan perdana menteri dengan berkata, langkah ini sangat tepat bagi memberi peluang dan ruang kepada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, membantu perdana menteri dalam mentadbir negara.

Bagi pekerja swasta, Amrina Salleh, 22, pula cara pelantikan menteri dan timbalan menteri yang perlu melalui saringan Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM), adalah satu tindakan yang  memberi kepercayaan kepada rakyat terhadap anggota kabinet baharu ini.

“Saya amat terkejut apabila mendapati semua menteri dilantik telah lulus dalam tapisan SPRM,  dan ini membuang persepsi negatif rakyat terhadap menteri,” katanya.

Muhyiddin semalam mengumumkan Kabinet baharu beliau yang terdiri daripada tokoh politik berpengalaman, teknokrat dan pakar dalam pelbagai bidang, dengan mengabungkan muka lama dan baharu.

Kesemua 31 menteri kabinet dan 37 timbalan menteri hari ini telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya petang ini.

Sebelum itu, di sebelah pagi, Tengku Zafrul, Zulkifli, Datuk Dr Mah Hang Soon (Timbalan Menteri Pendidikan I), Lim Ban Hong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa), Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar), dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara.

— BERNAMA