Pilih Bahasa

Rami Rami Poriamo – Perayaan tahunan Tombonuo

PITAS: Sabah kaya dengan keunikan budaya tersendiri, satu daripadanya ialah kepelbagaian pesta setiap kaum iaitu pesta berkaitan penanaman padi yang dirayakan setiap tahun.

Bagi masyarakat Kadazandusun Pesta Kaamatan atau Tadau Kaamatan memang tidak asing lagi kerana ia dirayakan setiap tahun sebagai tanda kesyukuran kepada semangat padi iaitu Bambarayon selepas selesai menuai padi.

Roraah Inuung Nelmui Muhari (tengah) bersama tempat kedua Haniza Matihon dan ketiga Christin Muslin. Gambar SNT/Ihsan Penganjur Rami Rami Poriamo

Begitu juga dengan perayaan Pesta Magahau bagi masyarakat Rungus dan Pesta Monguyas Norutip bagi masyarakat Tobilung.

Namun jarang sekali kita mendengar Rami Rami Poriamo yang dirayakan masyarakat Tombonuo di negeri ini.

Perayaan ini yang dianjurkan oleh Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah mempunyai sedikit perbezaan dengan perayaan-perayaan masyarakat Kadazandusun, Rungus dan Tobilung.

Menurut masyarakat Tombonuo, Rami Rami Poriamo mempunyai hubungkait dengan bintang iaitu buruj ‘muru puru’, buruj ‘ra’ah’ dan buruj ‘wolatik’ yang menjadi petunjuk atau panduan utama masyarakat Tombonuo membuka ladang dari peringkat awal sehingga selesai proses penanaman padi dalam tempoh satu tahun.

Simbolik perasmian dilakukan oleh para tetamu khas. Gambar SNT/Ihsan Penganjur Rami Rami Poriamo

Masyarakat ini juga beranggapan bahawa permulaan dan penghujung dalam satu tempoh setahun adalah berdasarkan daripada panduan poriamo tersebut iaitu bermulanya proses berladang untuk tahun berikutnya.

Proses penanaman padi masyarakat itu bermula dengan melihat poriamo (melihat bintang) untuk memulakan aktiviti berladang.

Setelah melihat bintang yang menunjukkan kesesuaian berladang pada tahun tersebut maka mulalah aktiviti Mongogang (melihat kawasan ladang), diikuti dengan Mongoririk (membersihkan kawasan ladang), Monogad (memotong kayu), Monusul (membakar ladang), Monuan (tanam padi), Mongindikut (merumput), Mamaroi (memungut hasil padi), Mongirik Nu Bambarayon (memanggil semangat padi), monongkop (memasak tuaian pertama untuk ahli keluarga), Muraub (gotong royong menuai padi) dan akhir sekali dirayakan dengan perayaan Rami Rami Poriamo.

Datuk James Ratib antara jemputan khas yang hadir. Gambar SNT/Ihsan Penganjur Rami Rami Poriamo

Presiden Persatuan Bangsa Tombonou Sabah Dr. Akian Bin Ah Kiew berkata perayaan Rami Rami Poriamo dengan tema ‘Korogaman Popusulut Pupugan’ atau ‘Kebudayaan Penyatuan Bangsa’ akan dijadikan sebagai acara tahunan masyarakat Tombonuo.

“Pesta ini dianjurkan bertujuan memelihara dan memulihara warisan budaya Tombonuo agar tidak hilang ditelan zaman, mempromosi adat resam dan budaya kita agar masyarakat secara keseluruhannya terutamanya generasi muda Tombonuo dapat memahami dan menghormati adat resam dan budaya mereka sendiri serta mengeratkan hubungan silaturahim antara semua masyarakat di negeri ini,” katanya.

Katanya lagi Rami-Rami Poriamo diadakan buat pertama kalinya pada tahun 2014 di Kampung Tambilidon Pitas dan tahun ini ia diadakan di Dewan Majlis Daerah Pitas, baru-baru ini buat kali yang ke enam.

Dr Akian berucap di majlis tersebut. Gambar SNT/Ihsan Penganjur Rami Rami Poriamo

Pelbagai acara menarik diadakan sempena pesta itu antaranya, pertandingan ratu cantik atau Roraah Inuung.

Cerita “Roraah Inuung” ini berbeza dengan cerita ‘Huminodun’ kerana ia mengisahkan seorang gadis yang tidak pernah keluar dari rumah dan tidak pernah berjumpa dengan lelaki.

Jika ada lelaki yang ingin datang di rumah si gadis, si gadis akan cepat-cepat masuk ke dalam bilik supaya si lelaki tidak melihatnya.

Cara untuk mengetahui si lelaki datang adalah si lelaki memasang atau menggunakan lonceng yang di panggil ‘sokurung’ atau ‘soramot’ berserta dengan parang untuk memberikan isyarat kedatangannya.

Antara peserta Roraah Inuung bersama penari kebudayaan Tombonuo. Gambar SNT/Ihsan Penganjur Rami Rami Poriamo

‘Roraah Inuung’ juga tidak pernah keluar atau melakukan pekerjaan di luar rumah tetapi gadis ini rajin memasak dan mengemas rumah.

Jodoh gadis Tombonuo zaman dahulu ditentukan oleh ibu bapa pihak lelaki dan perempuan iaitu ibu bapa lelaki dan perempuan akan menjodohkan anak-anak mereka sejak kecil lagi dan apabila meningkat dewasa, mereka akan dikahwinkan.

Selepas berkahwin, barulah gadis tersebut dapat belajar melakukan pekerjaan di luar rumah seperti membersihkan kawasan rumah, membuka ladang, menanam padi, menuai padi dan sebagainya.

Maka konsep pertandingan ‘Roraah Inuung’ diadaptasi melalui cerita tersebut.

Pada tahun ini, pemenang pertama pertandingan Roraah Inuung sempena perayaan Rami Rami Poriamo ialah Nelmui Muhari, tempat kedua Haniza Matihon dan ketiga Christin Muslin.-SabahNewsToday