Pilih Bahasa

RAMPASAN MINUMAN, ROKOK SELUDUP BERNILAI RM 8.3 JUTA OLEH PPM WILAYAH 4 SABAH -TERBESAR SETAKAT INI

Oleh Mohd Adam Arinin

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah bersama Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat dan Komander PPM Wilayah 4 Sabah Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali (tiga dari kiri) melihat rampasan minuman keras yang dirampas di Markas PPM Wilayah 4 Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras yang tidak lulus kastam serta mercun pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai lebih RM 8.3 juta dari sebuah stor di Kampung Bontoi, Tamparuli, kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata serbuan diketuai oleh seorang pegawai kanan polis bersama empat anggota selepas melakukan intipan selama tiga hari di lokasi tersebut.

“Pegawai dan anggota polis yang membuat intipan awal selama tiga hari di sebuah stor disyaki menyimpan rokok, minuman keras dan mercun itu dan mendapati terdapat pergerakan keluar dan masuk dari stor terbabit.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah bersama Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat (tengah) dan Komander PPM Wilayah 4 Sabah Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali melihat rampasan minuman keras yang dirampas di Markas PPM Wilayah 4 Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki warga tempatan bersama dua lelaki warganegara asing berada di lokasi serbuan dan sedang memunggah barang dari van kedalam stor.

Hasil pemeriksaan lanjut, pelbagai jenis rokok dan minuman keras serta mercun disimpan didalam stor berkenaan seterusnya merampas kesemua barangan tersebut dan dibawa ke Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah,” katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah 4 Sabah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pagi tadi.

Turut hadir Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat dan Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali.

Menurut Omar, sebanyak 111,350 bungkus rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM 5.5 Juta selepas cukai kastam dirampas.

Manakala bagi minuman keras pula, pihak polis berjaya merampas sebanyak 2,746 kotak yang dianggarkan bernilai RM 263,150 atau RM 2.6 Juta selepas dikenakan cukai.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah bersama Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat (kiri) meneliti kotak rokok yang dirampas pada sidang media di Markas PPM Wilayah 4 Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Bagi rampasan ini, kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang-barang larangan. Untuk kedua-dua kesalahan ini, jika disabit kesalahan boleh didenda minimum RM100,000,” jelasnya.

Tambah Omar, pelbagai jenis mercun yang dirampas pula dianggarkan bernilai RM 6,235 dan ia akan disiasat dibawah Akta Bahan Letupan 1657.

“Selain daripada ketiga-tiga rampasan ini, kita juga turut merampas sebuah van yang dipercayai digunakan oleh sindiket bagi menjalankan aktiviti penyeludupan.” katanya.

Sementara itu, Komander PPM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata sepanjang tahun lalu juga PPM Sabah turut merekodkan sebanyak 1,684 operasi dijalankan.

“Daripada jumlah operasi yang dibuat, kita telah melakukan sebanyak 1,439 tangkapan dengan nilai rampasan lebih RM 18 Juta.

“Antara kes yang dihasilkan merangkumi beberapa akta seperti Akta Perikanan 185, Akta Imigesen 1959/63, Akta Perikanan 1985, dan beberapa lagi kes yang melibatkan akta undang-undang yang berkuasa di Malaysia.” katanya.

Dalam pada itu, Omar mengucapkan tahniah kepada pegawai dan anggota yang berjaya mematahkan sindiket penyeludupan terbesar di negeri setakat ini.

“Pihak polis juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat terutama masyakarat maritim dalam menyalurkan maklumat tepat yang berkaitan jenayah penyeludupan, jenayah alam sekitar seperti aktiviti pengeboman ikan dan juga jenayah maritim yang lain.

“PDRM Kontinjen Sabah juga berasa bangga dan terharu diatas kerjasama yang jitu dan sokongan masyarakat dalam usaha membanteras penyeludupan ini dan apa-apa aktiviti kesalahan yang melanggari undang-undang negara sedia ada.” katanya. -SabahNewsToday