Pilih Bahasa

Rancang bina kilang klinker kurangkan kos import bahan mentah pembuatan simen

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) serta syarikat Cement Industries Sabah Sdn Bhd (CIS) merancang membina sebuah kilang klinker di negeri ini sebagai usaha mengurangkan kos import bahan mentah utama dalam pembuatan simen.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata usaha berkenaan juga dilihat supaya memastikan bekalan klinker di Sabah sentiasa mencukupi bagi jangka masa panjang.

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. Gambar Fail SNT

Madius berkata CIS ketika ini perlu mengimport klinker daripada Semenanjung dan luar negara disebabkan syarikat berkenaan tidak mengeluarkan bahan utama itu selain hanya memproses ia menjadi simen.

“Tidak seperti pengeluar simen di Semenanjung yang menjadi syarikat pengeluar simen bersepadu atau ‘integrated cemen plant’.

“Faktor ini juga mendorong berbezaan struktur kos pengeluaran antara CIS dan syarikat pengeluar simen di Semenanjung selain faktor bahan mentah, pengangkutan kapal dan logistik.

“Hal ini mendorong harga jualan simen di negeri ini tidak selaras dengan harga jualan di Semenanjung sekaligus lebih murah berikutan lebihan kapasiti penawaran yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor dari Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Robert Tawik pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah ke 15, dekat sini, hari ini.

Bagaimanapun, Madius berkata harga jualan simen di Sabah lebih tinggi ketika ini dan bagi tempoh lebih 10 tahun kebelakangan ini, harga jualan tidak naik walaupun terdapat kenaikan ketara dalam kos bahan mentah berikutan kejatuhan mata wang ringgit.

Menurut beliau CIS juga turut menurunkan harga simen sebanyak 6.0 peratus untuk pasaran pantai timur sabah apabila Terminal Simen Pukal mula beroperasi di Pelabuhan Lahad Datu pada awal tahun 2009 lalu.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya menerusi CIS turut menjalankan kajian harga simen yang berada dipasaran daripada semasa ke semasa agar harga simen dikeluarkan oleh CIS tidak mengakibatkan kesan ketara ke atas industri pembinaan termasuklah perumahan kos rendah. -SabahNews Today