Pilih Bahasa

Rancang naiktaraf pasar, beri perkhidmatan terbaik kepada pengguna

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Jaujan (tengah) ketika sidang media di pejabat beliau di Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap daerah di negeri ini mengambil langkah aktif menaikkan taraf semua jenis pasar terdapat di kawasan masing-masing dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Jaujan Sambakong berkata kerja naiktaraf berkenaan termasuklah penambahan infrastruktur, mencantikkan bangunan sedia ada dan menjaga kebersihan pasar agar menjadi lebih selesa serta kondusif.

Jaujan berkata walaupun kini terdapat banyak pasar raya besar sudah beroperasi hampir disemua daerah namun pasar dilihat masih menjadi pilihan orang awam atau pengguna mungkin disebabkan faktor harga sedikit berbeza.

Jaujan (kanan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Bagaimanapun, kemunculan pasar raya besar ketika ini secara tidak langsung menyebabkan penerimaan pengguna ke atas pasar agak suram. Oleh itu, kita perlu memperindahkan kembali semua pasar yang ada di negeri ini agar mampu menarik perhatian pembeli.

“Selain faktor kebersihan dan kecantikkan, kemudahan tempat letak kereta yang banyak juga antara faktor pengguna datang ke pasar untuk membeli barangan keperluan harian.

“Walaupun sesebuah pasar itu cantik tetapi mempunyai masalah tempat letak kereta, ia juga menjadi masalah disebabkan semua pasar raya yang sedia ada kini mempunyai kemudahan tempat letak kereta.

“Kementerian sentiasa melihat ke arah itu (penambahan kemudahan) agar dapat membantu peniaga di kawasan pasar boleh terus meningkatkan ekonomi masing-masing dengan penambahan jumlah pengguna,” katanya pada sidang media selepas sesi sidangDewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke 15 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jaujan berkata kementerian beliau bakal mengemukakan cadangan pembinaan beberapa pasar baharu termasuklah Pasar Awam Sipitang, Pasar Awam Baru Kota Kinabatangan dan pasar kain bertingkat di Kudat di bawah Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12).

Menurutnya, pihaknya turut mencadangkan untuk manaiktaraf Pasar Awam Beaufort, Weston, Tamu Minggu Melalap dan Tapak Tamu serta Gerai Pekan Apin-Apin.

Terdahulu semasa menjawab soalan Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Bersatu-Membakut) berkaitan cadangan kerajaan membantu pengusaha kecil Pantai Pasir Pimping dalam menaiktaraf gerai agar lebih tersusun, Jaujan berkata kementeriannya melalui Majlis Daerah Beaufort sudah merancang bagi projek naiktaraf gerai dilokasi berkenaan.

Beliau berkata rekabentuk untuk kerja naiktaraf terbabit sudah disiapkan oleh pihak majlis dan cadangan peruntukkan tambahan akan dipohon di bawah peruntukan khas (BP.1) Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bagi tahun 2020.

Menurut beliau proses naiktaraf dijangka bakal dimulakan pada awal tahun hadapan dan apabila segalanya selesai, kementerian menjangkakan Pantai Pasir Pimping akan menjadi salah satu destinasi pelancongan bagi daerah Membakut.

“Ia secara langsung akan membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat khususnya pengusaha serta peniaga kecil di kawasan berkenaan,” katanya. – SabahNews Today