Pilih Bahasa

Rancang pelaksanaan sistem kupon parkir di seluruh negeri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Undang-Undang Kecil Provision of Parking Places (kupon tempat letak kereta) By-Laws 2017 bakal dikembangkan ke semua daerah di negeri ini secara berperingkat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata perancangan berkenaan setakat ini hanya melibatkan daerah yang sudah dilihat mempunyai kemajuan serta kestabilan sosio ekonomi.

Jaujan ketika sidang media di pejabatnya di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Jaujan berkata caj yang akan dikenakan bagi setiap daerah juga mungkin berbeza dengan mengambil kira faktor keadaan ekonomi setempat.

“Setakat ini daerah yang sudah melaksanakan undang-undang ini adalah Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

“Terdapat juga beberapa daerah lain yang dilihat menuju ke arah kemajuan seperti Keningau, Lahad Datu serta Semporna.

“Kita mahu ia dilaksanakan berperingkat sehinggalah semua daerah mengaplikasikan sistem tempat letak kereta sama pada masa hadapan,” katanya.

Jaujan (empat dari kanan) bersama rakan media ketika sidang media di pejabatnya di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di pejabatnya di Wisma Innoprise, dekat sini, hari ini.

Jaujan berkata pelaksanaan sistem tempat letak kenderaan seumpama itu adalah bertujuan sebagai salah satu langkah mengurangkan kesesakan jalan raya selain mengelakkan orang awam meletakkan kenderaan terlalu lama di sesuatu kawasan sehingga mengakibatkan ketiadaan ruang parkir.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pelaksanaan sistem sama di bandar Sandakan, beliau menyatakan isu berkaitan caj parkir berkenaan akan dilihat semula dalam masa terdekat bagi memperincikan lagi usaha terbabit.

Menurutnya perbincangan bersama pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan ahli majlis bakal dilakukan namun keputusan akhir mengenai perkara itu terletak pada tanggungjawab MPS berikutan kerajaan sudah menurunkan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memputuskan sebarang keputusan bagi setiap daerah.

Sementara itu, Jaujan berkata pihak juga mengambil kira cadangan serta pandangan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong yang mahu MPS mempercepatkan penyediaan jualan kupon parkir bergores 25 sen bagi setengah jam.

MPS menguatkuasakan parkir berkupon di pusat bandar sejak 15 Ogos lalu manakala 11 bandar satelit pada 2 September, baru-baru ini. -SabahNews Today