Pilih Bahasa

RANCANG PEMBINAAN TADAHAN AIR ATASI MASALAH AIR DI IBU NEGERI: MOHD SHAFIE

Oleh Zakaria Damit

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama sebahagian mangsa kebakaran ketika lawatan di Pusat Penempatan Sementera di Dewan Serbaguna Putatan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri merancang untuk membina sebuah kawasan tadahan air baharu bagi menampung keperluan bekalan air kepada penduduk di sekitar ibu negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal berkata cadangan ini dilihat sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang sekaligus untuk memastikan penduduk ibu negeri dapat menikmati kemudahan air yang mencukupi.

Katanya, Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah sedang meneliti beberapa lokasi bagi memastikan cadangan pembinaan ini dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.

Sebahagian mangsa kebakaran di Pusat Penempatan Sementera di Dewan Serbaguna Putatan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Kita perlu segerakan pembinaan ini meskipun mendapat bantahan serta protes daripada pelbagai pihak.

“Mereka protes dalam anggaran lima ratus hingga seribu orang, tetapi dengan wujudnya pembinaan ini nanti kita mampu memberi keselesaan kepada lebih ramai penduduk di sekitar ibu negeri serta kawasan-kawasan yang berhampiran, ” katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meninjau kawasan kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Putatan, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata masalah tekanan air rendah menyebabkan pihak Jabatan bomba dan Penyelamat Malaysia menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran.

Anggota Bomba meninjau kawasan kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Jika bekalan air mencukupi kemungkinan besar pihak bomba dapat mengawal api dengan mudah serta tidak merebak ke kawasan-kawasan rumah yang lain sekaligus harta benda dapat diselamatkan,” katanya.

Beliau mengesa agar semua pihak termasuk agensi kerajaan memberi penerangan serta maklumat secara terperinci agar perkara musibah seumpama ini akan dapat dielakkan berlaku di peringkat awal.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika sidang media selepas berjumpa dengan mangsa kebakaran di Pusat Penempatan Sementera di Dewan Serbaguna Putatan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Sementara itu dalam perkembangan sama, Mohd Shafie mencadangkan agar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mewujudkan satu unit khas bertindak memadam kebakaran di perkampungan rumah atas air.

“Cadangan ini sudah kita suarakan lama iaitu antara lain bertujuan mengelakkan sekiranya berlaku kebakaran terhadap rumah atas air yang dibina terlalu rapat dan tidak mempunyai pili bomba,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah hari semalam, seramai 74 keluarga terjejas membabitkan 55 buah rumah terbakar namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Kesemua keluarga tersebut kini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Putatan dan Dewan Mini Putatan.-SabahNewsToday