Pilih Bahasa

Rancang ubah produk minyak sawit mentah kepada produk pasaran tangani ketidakstabilan jumlah nilai tambah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah merancang mengubah produk minyak sawit mentah (CPO) kepada produk pasaran dalam usaha menangani ketidakstabilan jumlah nilai tambah di negeri ini.

Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata salah satunya menggantikan penggunaan CPO dalam pasaran makanan ke pasaran bukan makanan seperti bioplastik.

Madius Tangau. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Madius berkata ia adalah pendekatan terbaik dan ia bukan sahaja penambahan nilai bagi menjana pendapat lebih tinggi tetapi dapat meningkatkan pembangunan serta menambah peluang pekerjaan di Sabah.

“Satu lagi cara yang mungkin boleh dilaksanakan mendapatkan harga lebih baik bagi minyak sawit adalah dengan melibatkan diri dalam perdagangan komoditi niaga hadapan.

“Menerusi langkah ini, CPO terbabit bukannya dijual ke tempat yang dikhaskan untuk perdagangan atau jualan dan penghantaran segera yang biasanya selesai dalam tempoh beberapa hari. Harga perdagangan spot commodity lebih terdedah kepada tekanan harga penawaran dan permintaan segera.

“Ini membolehkan peniaga yang terlibat dalam perdagangan atau kontrak niaga hadapan  boleh memutuskan untuk melakukan jualan pada masa hadapan (biasanya dalam masa beberapa bulan bahkan setahun kemudian) apabila harga kemungkinan menjadi lebih tinggi. Kontrak niaga hadapan menetapkan harga dan penghantaran dalam kuantiti tertentu pada tarikh yang lebih lewat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Osman Jamal pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Madius berkata Sabah perlu berusaha ke arah perdagangan komoditi kelapa sawit di masa hadapan dengan harga yang ditentukan oleh pelabuhan penghantaran di suatu tempat dalam negeri terbabit.

Menurut beliau, pasaran niaga hadapan dengan penghantaran fizikal di Sabah juga akan membolehkan pengeluar atau peniaga daripada negeri berkenaan menetapkan harga minyak sawit dan bukannya harga yang ditetapkan oleh peniaga luar terutamanya Semenanjung.

Sementara itu, Madius berkata sebanyak 1,300 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang diwujudkan sehingga kini sejak pelaksanaan kawasan industri berkelompok kelapa sawit (POIC) di Lahad Datu.

“Peluang pekerjaan berkenaan termasuklah bidang pengurusan, pekerja kompeten, pekerja mahir dan juga separa mahir.

“Semua pekerjaan terbabit adalah hasil pelaksanaan 28 projek perkilangan yang aktif dan beroperasi sepenuhnya ketika ini,” katanya.

Madius berkata kebanyakkan pekerja yang diambil ialah penduduk tempatan berasal daripada daerah berkenaan selain terdapat daripada daerah utama di pantai timur seperti Sandakan dan Tawau. -SabahNews Today