Pilih Bahasa

Rancangan jangka masa panjang perlu untuk bangun semula kampung terbakar di Tawau

Foto Bernama

TAWAU, 30 Ogos– Kerajaan negeri Sabah meminta Majlis Perbandaran Tawau (MPT) supaya meneliti perancangan jangka masa panjang untuk membangunkan semula perkampungan yang terjejas dengan kebakaran bagi memastikan kejadian kebakaran tidak berulang di daerah itu, termasuk di Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat di sini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri mengambil berat mengenai keselamatan penduduk kampung itu, yang terjejas oleh kebakaran besar pada malam Isnin lepas, dan menasihatkan mereka supaya tidak membina semula rumah mereka di tapak asal sehingga MPT telah membuat perancangan yang sesuai.

“Saya telah meminta MPT supaya meneliti hal ini (mangsa bina semula rumah di tapak asal) secara mendalam kerana saya tahu perkampungan ini diwujudkan begitu lama sejak tahun 1970-an lagi.

“Kita (kerajaan negeri) tidak mahu penduduk (mangsa) mengambil keputusan sendiri untuk membina semula rumah. Kalau kejadian kebakaran berlaku lagi, kita tidak boleh elakkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di pusat pemindahan sementara di Dewan OT Jantan di sini hari ini.

Mohd Shafie turut prihatin dengan pembinaan rumah yang rapat antara satu dengan yang lain sehingga membolehkan api merebak dengan cepat jika berlaku kebakaran di satu rumah.

“Kita sebagai kerajaan negeri dan pentadbir perlu membimbing dan membantu rakyat menyusun atur kehidupan mereka supaya lebih selamat,” tambahnya.

Mohd Shafie turut meninjau Kampung Otentik, di mana kebakaran sekitar 7.40 malam itu berlaku dan mengakibatkan 69 rumah musnah dan menjejaskan 511 penduduk, manakala 21 rumah lagi mengalami kerosakan.

Selain Dewan OT Jantan, mangsa turut ditempatkan sementara di Masjid Nur Huda dan Masjid Al-Mukarramah, selain rumah saudara-mara.

— BERNAMA