Pilih Bahasa

Rancangan jangka panjang rapi perlu sebelum Empangan Papar dibina: Adun Moyog

PENAMPANG: Satu perancangan rapi jangka panjang perlu dirangka sebelum membuat keputusan terakhir bagi pembinaan empangan Papar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog Jenifer Lasimbang berkata masih terdapat ruang untuk duduk berbincang mengenai pembinaan empangan itu yang dahulunya dikenali sebagai empangan Kaiduan.

Rombongan merakamkan gambar beramai-ramai selepas mengecat bangunan E Buayan. Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Moyog

“Selaku wakil rakyat di sini, saya masih perlu dengar pendapat dan luahan rakyat yang mungkin terjejas akibat pembinaan empangan itu.

“Kita juga mesti terus kaji dan berbincang secara terbuka adakah pembinaan empangan itu adalah cara terakhir bagi membekalkan air bersih kepada penduduk,” katanya selepas mengadakan Program Kemasyarakatan bersama Korporasi Pembangunan Desa (KPD) di Kg Buayan baru-baru ini.

Beliau berkata, masalah utama terkini yang melibatkan bekalan air adalah seperti yang dinyatakan pengarah jabatan air iaitu masalah kecurian dan kebocoran saluran paip.

Jenifer (duduk tengah) bersama salah satu daripada 10 bibit kelapa pandan sumbangan KPD di Kampung Buayan. Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Moyog

Katanya masalah Non-Revenue Water (NRW) atau ketirisan bekalan air masih sangat tinggi akibat daripada itu dan satu usaha penyelarasan pembekalan air perlu dilakukan.

“Kebanyakan kampung di sekitar Penampang  masih bergantung kepada mata air graviti, kita juga perlu menjaga tadahan air. Contohnya kampung Buayan mempunyai sistem mini hidro dan telah menjaga tadahan air dengan baik.

“Ianya cukup bagi membekalkan air dan juga menjana bekalan elektrik di kampung ini,” katanya.

Honorsius menyerahkan peralatan paip air graviti untuk SK Buayan daripada KPD. Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Moyog

Bagaimanapun katanya isu pengurusan dan pembekalan air sekiranya tidak ditangani secara baik, masalah air akan sentiasa membelenggu masyarakat.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi berkata pejabatnya dan Parlimen Penampang kini sedang bertungkus lumus membekalkan bekalan air kepada penduduk yang terjejas akibat musim kemarau ini.

Dalam pada itu, Jenifer juga berterima kasih kepada KPD kerana memberikan sumbangan seperti pembaikian sistem air graviti di Sekolah Kebangsaan Buayan serta kerja amal lain yang dilakukan dalam kampung itu.

Gotong-royong mengecat rumah Katekis Julius. Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Moyog

Turut hadir di program itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah KPD, Honorsius Datuk Alfred Bosuin, Pengurus Besar KPD, Kalimin Sahadi, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan dan Kewangan) KPD, Dr. Rainal Lasumin dan para pegawai kanan KPD.-SabahNewsToday