Pilih Bahasa

Rancangan menaik taraf hospital, klinik kesihatan di Sabah diteruskan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Dr Dzulkefly Ahmad (dua dari kiri) dalam sidang sempena Persidangan Kajian Kematian Perioperatif Kebangsaan (POMR) Keenam di Kota KInabalu. – Gambar SNT

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri menerusi Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat dalam meneruskan rancangan menaik taraf dan memperbaiki klinik kesihatan dan hospital sedia ada di negeri ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu merupakan topik utama yang dibincangkan antara kementeriannya dan kerajaan negeri dalam mengenal pasti isu semasa yang melibatkan kemudahan kesihatan untuk rakyat Sabah.

“Saya sebenarnya bekerja rapat dengan bekas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat mendiang Datuk Stephen Wong dalam merancang pembinaan kemudahan kesihatan yang diperlukan di Sabah bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Datuk Christina Rundi.

“Kami telah berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta menyatakan rancangan ini dan kami berharap untuk mendapatkan peruntukan agar dapat meneruskan pembangunan kemudahan kesihatan di negeri ini,“ katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penutupan dalam  Persidangan Kajian Kematian Perioperatif Kebangsaan (POMR) Keenam di sini hari ini.

Seramai 600 peserta dari seluruh negara dan negara jiran seperti Brunei dan Singapura mengambil bahagian dalam persidangan empat hari itu yang bertemakan ‘POMR – Dimensi Baru’ yang bermula dari 4 hingga 7 April.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Christina Rundi dan Pengerusi Jawatankuasa POMR Kebangsaan Datuk Dr Wan Khamizar.

Beliau berkata peningkatan kemudahan kesihatan perlu dilakukan untuk memenuhi keperluan masyarakat di Sabah kerana menyedari bahawa golongan B40 (bawah 40) masih memerlukan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan iaitu hospital dan klinik kesihatan.

Katanya perkhidmatan kesihatan baik yang diperlukan oleh orang ramai merupakan antara faktor perlunya kemudahan kesihatan sedia ada diperbaiki bagi memastikan ia dapat memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Dalam pada itu Dr Dzulkefly berkata terdapat sebanyak 24 buah hospital di Sabah dan tujuh daripadanya adalah berstatus hospital pakar iaitu Hospital Queen Elizabeth (QEH), QEH II, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Hospital Tawau dan Hospital Duchess of Kent Sandakan.

Di bawah kementerian itu, beliau berkata terdapat hospital kluster yang bertindak sebagai hospital utama untuk menyediakan perkhidmatan pakar ke hospital daerah dalam pelbagai bidang seperti pediatrik, pembedahan dan ortopedik.

Terdahulu, Dzulkefly berkata penganjuran Persidangan POMR Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan sesuai dengan usaha peningkatan kemahiran dan pengetahuan berterusan serta amalan dalam bidang perubatan, terutama pembedahan.

Beliau berkata persidangan itu selaras dengan langkah kementerian dalam mengutamakan keselamatan pesakit menerusi perbincangan antara profesional dan pakar dalam bidang perubatan dari segi pengurusan pembedahan.

Katanya ini berdasarkan kes kematian perioperatif di Malaysia yang dikatakan telah dipantau sejak 1992 dan dilaporkan telah meningkat kepada lebih 73 peratus di seluruh negara pada 2018.

Beliau berkata POMR telah dimulakan sebagai program audit kebangsaan oleh pakar bedah dan anestetik yang berpengalaman dan pakar dalam bidang mereka untuk mengkaji semula kes kematian yang berlaku sebelum, semasa atau selepas sebarang prosedur pembedahan di hospital-hospital Kementerian Kesihatan.

“Ini adalah persidangan keenam yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan dan ia merupakan satu usaha berterusan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan kemahiran, pengetahuan dan amalan kami terutama dalam bidang pembedahan.

“Apa yang lebih penting adalah dimensi baharu dalam POMR ini di mana penyeragaman telah dibuat secara dalam talian yang akan memudahkan penyediaan format standard bagi laporan POMR,” katanya. – SabahNewsToday