Pilih Bahasa

Rancangan pembangunan Sipitang akan dibukukan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Dr Yusof (kanan) menghadiri Sesi Percambahan Fikiran Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Sipitang di pejabatnya di Wisma Bandaraya. – Gambar SNT/Ihsan Adun Sipitang

KOTA KINABALU: Pelan hala tuju pembangunan Sipitang akan dibukukan sebagai panduan bagi membolehkan segala perancangan dibuat dengan tersusun dan mengikut keperluan semasa.

Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob berkata dengan adanya panduan itu akan memastikan terdapat kesinambungan pelaksanaan sesebuah pembangunan sekiraranya berlaku pertukaran kepimpinan kerajaan.

“Pada masa lalu kita melihat ia tidak pernah dibuat dan direkodkan, jadi pembangunan daerah itu jadi celaru dan tidak ada hala tuju jelas untuk kita ikut.

“Kali ini kita mahu ia dibukukan dan direkodkan. Kita akan ikut panduan dalam buku ini sehingga selesai, kalua ada perubahan pun mungkin keciil sahaja mengikut keperluan semasa,” katanya.

Dr Yusof (kanan) semasa mempengerusikan Sesi Percambahan Fikiran Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Sipitang di pejabatnya di Wisma Bandaraya. – Gambar SNT/Ihsan Adun Sipitang

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Sesi Percambahan Fikiran Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Sipitang di pejabatnya di Wisma Bandaraya.

Taklimat itu turut disampaikan oleh wakil Jabatan Perancang Bandar Negeri Sabah, Unit Perancang Ekonomi Sabah (EPU), Jabatan Tanah dan Ukur serta beberapa input daripada pihak korporat dan usahawan dari Sipitang.

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin berkata percambahan fikiran itu akan dikumpulkan menjadi input daripada pemimpin dan kumpulan cerdik pandai serta tokoh koprporat tempatan.

Mengulas lanjut beliau menambah pelan pembangunan yang dirancang itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi daerah Sipitang akan dibentangkan pada tahun hadapan.

Katanya antara perkara utama yang dibincangkan adalah berkaitan infrastruktur di daerah itu seperti perhubungan jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi khususnya fibre optik di kawasan itu.