Pilih Bahasa

Rangkaian internet negeri perlu ditingkatkan

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Rangkaian dan ketersambungan internet seluruh negeri perlu ditingkatkan bagi penyampaian maklumat secara menyeluruh.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata adalah penting bagi kerajaan negeri untuk memastikan dan mengenal pasti pusat-pusat yang memerlukan teknologi bukan hanya perniagaan bahkan juga sekolah.

Mohd Shafie diberi taklimat mengenai program Celcom dalam satu majlis di Hotel Hilton di sini hari ini. Gambar SNT/Ihsan Celcom

“Kadang-kadang kita tahu ada sekolah di luar bandar tidak mempunyai sambungan internet yang begitu baik.

“Selain itu, internet ini adalah satu kemudahan yang kita perlu tingkatkan supaya produk-produk bermutu di luar bandar dapat dikenali orang ramai.

“Kita perlukan liputan internet yang baik di kawasan-kawasan seumpama ini untuk mempromosikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar program Celcom Memacu Masyarakat Digital di Sabah, di Hotel Hilton, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Idham Nawawi berkata Celcom amat komited dalam memperkasakan Sabah dengan pelan pelaksanaan liputan rangkaian terbaik bagi memacu pembangunan dan ekonomi negeri di era digital.

“Inisiatif ini juga adalah suatu kerjasama dan sejajar dengan agenda kerajaan negeri bagi pembangunan digital Sabah dan kami ingin mencapai kesemua lapisan masyarakat, sama ada di bandar mahupun pedalaman bagi memastiikan mereka mempunyai peluang untuk menjadi mahir dalam industri teknologi digital yang berkembang pesat hari ini.

“Selain Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah, Celcom turut melangkah jauh dengan pelbagai inisiatif sejajar denga aspirasi kerajaan.

“Pada hari ini, Celcom menyediakan penyelesaian dan keterhubungan bagi lebih 900 buah sekolah di Sabah melalui liputan kawasan pedalaman,” katanya. -SabahNewsToday