Pilih Bahasa

Rangkaian logistik negeri diperkukuhkan untuk pertumbuhan industri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menumpukan perhatian mengatasi isu kos logistik tinggi dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

Langkah berkenaan juga dilihat dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi untuk menjadikan Sabah sebuah negeri lebih berdaya saing.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Min Fung (dua kiri) bersama Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad dan Sabah Ports Sdn Bhd Tan Sri Ibrahim Menudin (dua kanan) melancarkan Forum Pelabuhan Sabah Ke Dua di Kota Kinabalu. Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar (kiri sekali). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Sabah ketika ini sedang berdepan masalah logistik ekoran ketiadaan pengendali perkapalan global atau syarikat perkapalan utama (MLO).

“Lapan puluh peratus kontena yang diimport ke negeri ini adalah datang daripada Semenanjung kerana syarikat pengendali kargo lebih memilih melaksanakan pemunggahan kargo di sana sebelum dibawa ke Sabah berikutan adanya penyediaan hab sistematik sekaligus lebih efektif dari segi kos.

“Bagaimanapun, ia mengakibatkan kos barangan bertambah antara lima hingga 10 peratus. kerajaan negeri menekankan usaha mengukuhkan rangkaian logistik masuk dan keluar negeri ini dan mencari jalan untuk mengembangkan sektor industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Forum Pelabuhan Sabah Ke Dua, dekat sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Min Fung.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar dan Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad dan Sabah Ports Sdn Bhd, Tan Sri Ibrahim Menudin.

Berlangsung selama dua hari bermula 1 hingga 2 Oktober, forum terbabit disertai kira-kira 500 peserta daripada dalam mahupun luar negara.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata pihaknya menerusi kerajaan negeri akan terus komited bagi merealisasikan sasaran peningkatan kepada RM60 bilion hasil sektor pembuatan menjelang tahun 2030.

Beliau berkata ia sejajar dengan sasaran sumbangan 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). -SabahNews Today