Pilih Bahasa

Rawatan kesihatan bukan alasan Musa Aman dapatkan pasport – pendakwaan

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) — Pihak pendakwaan dalam kes rasuah Tan Sri Musa Aman memohon Mahkamah Tinggi di sini, menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan bekas Ketua Menteri Sabah itu mendapatkan pasportnya bagi mendapatkan rawatan di London.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Shoib berkata alasan mendapatkan rawatan di luar negara yang digunakan Musa, 68, selaku responden untuk mendapatkan pasportnya itu, bukanlah satu alasan ‘luar biasa’, tidak kukuh dan tidak memperlihatkan keperluan yang mendesak.

“Responden tidak wajar diberikan kebenaran untuk ke luar negara hanya atas alasan perubatan semata-mata. Mahkamah perlu memberi pertimbangan dengan melihat sejauh mana keperluan responden untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit yang dialaminya,” kata Salim pada pendengaran permohonan semakan keputusan hakim Mahkamah Sesyen yang membenarkan Musa mendapatkan pasportnya, 7 Jan lepas.

Tan Sri Musa Aman. Gambar Bernama

Salim berkata Musa gagal menunjukkan bukti bahawa rawatan yang diperolehinya di luar negara tidak dapat diperoleh di Malaysia sedangkan Musa sebenarnya boleh mendapatkan rawatan di mana-mana hospital di dalam negara.

“Tiada sebarang rekod dikemukakan responden yang menyatakan bahawa elektrokardiogram, ujian darah, ujian koronari angiogram, angiografi dan ‘polysomnography’ yang akan dijalani responden tidak boleh dibuat di Malaysia, malah pemeriksaan atau ujian klinikal asas tersebut boleh dijalankan di negara ini,” katanya.

Salim berhujah, mana-mana individu mempunyai hak asasi masing-masing, namun ia bukan lagi hak mutlak apabila seseorang itu dituduh di mahkamah dan keputusan mahkamah membenarkan responden mendapatkan pasport boleh menyebabkan kebarangkalian untuk responden melarikan diri.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Musa membantah permohonan pendakwaan dengan beberapa alasan termasuk rawatan perubatan anak guamnya itu bukan rawatan kali pertama sebaliknya ia merupakan rawatan susulan yang telah dijalankan sejak 1996.

Amer Hamzah berkata pada Ogos tahun lepas, Musa telah mengambil risiko sendiri apabila pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes rasuahnya meskipun telah diberitahu oleh pakar perubatan di sebuah hospital di London bahawa dia mempunyai risiko sekiranya menghentikan rawatan yang sedang diterimanya ketika itu.

“Responden tidak ada kebarangkalian melarikan diri. Adalah tidak adil untuk menafikan hak responden mendapatkan rawatan susulannya,” kata Amer Hamzah.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan esok bagi keputusan permohonan semakan tersebut.

Pada 7 Jan lepas, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob membenarkan pasport Musa yang disimpan mahkamah itu, dilepaskan bermula 15 Jan hingga 10 Feb dengan beberapa syarat tambahan antaranya memerintahkan Musa memulangkan semula pasportnya selewat-lewatnya pada 11 Feb dan penjamin perlu bertanggungjawab terhadap tertuduh serta mengetahui di mana tertuduh berada.

Pada 5 Nov 2018, Musa mengaku tidak bersalah atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di negeri berkenaan berjumlah US$63,293,924 (RM263,460,962.313) daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Dis 2004 dan 6 Nov 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

— BERNAMA