Pilih Bahasa

Razeef Rakimin dinasihatkan guna saluran betul luah ketidakpuasan hati

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Sabah Razeef Rakimin dinasihatkan untuk menggunakan saluran betul bagi meluahkan sebarang ketidakpuasan hati.

Timbalan Ketua Wira Warisan Pusat, Mohd. Ismail Ayob berkata jika terdapat sebarang bantahan terhadap keputusan daripada mana-mana pemimpin kerajaan sepatutnya disampaikan melalui saluran tepat bukannya di media sosial.

Mohd Ismail Ayob. Gambar Fail SNT

Sehubungan itu, Mohd Ismail berkata kenyataan  Razeef yang mempersoalkan lantikan tersebut di laman maya sangat mengganggu keharmonian yang terjalin dalam kerjasama Parti Warisan Sabah (Warisan), Upko dan PH di Sabah.

“Deklarasi Anak Muda Sabah yang telah dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin-pemimpin pemuda Ogos tahun lalu bahawa pemuda Warisan, Upko dan PH berikrar menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Haji Mohd. Shafie Haji Apdal dilihat seperti cakap kosong apabila melihat kenyataan media yang dikeluarkan oleh saudara Rzeef.

“Apa yang pihak Wira Warisan Sabah harapkan adalah kesatuan dan musyawarah dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit, bukannya menyalahkan antara satu sama lain, rasanya ini bukanlah tempoh untuk kita terus bermain politik tetapi ini masanya untuk kita memikirkan pembangunan dan ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Razeef dalam kenyataan medianya melahirkan rasankecewa dengan tindakan Warisan membolot semua pelantikan Penyelaras Parlimen di kawasan yang dimenangi pembangkang.

Sehubungan itu, Razeef turut mendesak Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew agar lebih tegas demi kepentingan PH Sabah bukannya menjadi seperti ‘lembu dicucuk hidung’ oleh pemimpin Warisan.

Walaubagaimanapun, Mohd Ismail berkata setiap pelantikan Penyelaras Parlimen di kawasan Parlimen yang dimiliki pembangkang sudah tentu melalui pertimbangan sepenuhnya daripada Kerajaan Sabah.

Mohd. Ismail berkata Razeef sepatutnya lebih bijak dan berfikir panjang terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang dikhuatiri boleh mengguris hati penyokong Warisan dan pimpinan negeri.

Katanya Razeef boleh sahaja menyampaikan ketidakpuasan hati itu terus kepada Christina memandangkan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri akan hadir dalam mesyuarat Kabinet Sabah setiap hari Rabu, justeru tiada alasan untuk Razeef tidak dapat berjumpa dengannya.

“Oleh yang demikian, saya ingin menegaskan kepada Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Sabah, saudara Razeef Rakimin untuk tidak menimbulkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kerjasama yang kukuh di antara pemimpin-pemimpin Warisan, PH dan Upko di negeri Sabah.

“Hal ini disebabkan banyak lagi kerja-kerja dan perkara penting yang perlu untuk difikirkan dan dilaksanakan bagi membantu rakyat di Sabah daripada terus membuat kenyatan yang boleh membantutkan kerja-kerja bagi membantu rakyat, biarlah kita menjadi contoh anak muda di luar sana untuk menyuarakan pandangan serta kritikan melalui saluran yang betul bagi mengekalkan keharmonian yang sedia ada,” tegas beliau.-SabahNewsToday