Pilih Bahasa

REEPER SIDE FC JUARA BOLA SEPAK 9-SEBELAH PBTM/PBTS

KOTA KINABALU: Pasukan Reeper Side FC muncul juara Kejohanan Bola Sepak 9-Sebelah anjuran Pertubuhan Bangsa Tombonuo Malaysia (PBTM) dan Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah (PBTS) yang berlangsung meriah di Padang Sukma Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.

Pasukan itu menewaskan Mini Gun dalam aksi perlawanan akhir yang menyaksikan Reeper Side menang tipis 1-0.

Ahzveens bergambar bersama Pasukan Reeper Side yang menjuarai kejohanan itu. Gambar SNT/Ehsan PBTM/PBTS

Kemenangan itu sekali gus membolehkan pasukan yang dibarisi pemain dari Lok Kawi menerima hadiah kejuaraan berupa wang tunai RM1,500, medal, piala dan jersi.

Pasukan Mini Gun mewakili daerah Pitas selaku naib juara pula menerima hadiah wang tunai RM1,000, medal, piala dan jersi.

Ahzveens bergambar bersama Pasukan Mini Gun, Naib Juara pertandingan itu. Gambar SNT/Ehsan PBTM/PBTS

Manakala dalam perlawanan merebut tempat ketiga pula disandang pasukan X-Trim selepas menewaskan Samantha FC dengan jaringan 1-0.

Dengan kemenangan itu X-Trim menerima hadiah RM500, medal dan jersi.

Bagi hadiah sampingan, Pasukan Terbaik dimenangi Pasukan CKSC, Penjaga Gol Terbaik (Azroy Akam, dari MABA Team), Pemain Terbaik (wakil pasukan Mini Gun FC), Penjaring Terbanyak (pasukan Reeper Side) dan Pengurus Pasukan Terbaik (Sabas Pitas).

Albert menerima cenderahati daripada Ahzveens pada majlis perasmian kejohanan itu. Gambar SNT/ Ehsan PBTM/PBTS

Timbalan Presiden PBTM Ahzveens @ Hilary Akian berkata kejohanan itu yang julung kalinya dianjurkan persatuan itu mendapat sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan 22 pasukan.

“Kami berhasrat menjadikan pertandingan ini sebagai program tahunan persatuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina untuk memberi peluang kepada lebih ramai belia menyertainya dan dalam perancangan menganjurkan pertandingan Futsal untuk wanita.

Ahzveens dan Albert bergambar bersama sebahagian daripada 22 pasukan yang menyertai pertandingan itu. Gambar SNT/Ehsan PBTM/PBTS

“Antara tujuan penganjuran kejohanan ini ialah untuk memupuk semangat kesukanan, amalan gaya hidup sihat, meningkatkan semangat berpasukan, semangat setia kawan, mencungkil bakat-bakat generasi muda dan mengeratkan silaturahim dikalangan Gen-Y seluruh negeri,” katanya pada majlis penyampaian hadiah di Padang Sukma Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.

Perasmian kejohanan itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri Sabah Albert Bingkasan dan majlis penutupan pula oleh Ketua Bahagian Parti Warisan P167 Kudat Abu Bakar Angkang.-SabahNewsToday