Pilih Bahasa

Regatta Lepa khazanah kebudayaan negeri yang perlu dipelihara: Mohd Shafie

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie bersama isteri menari tradisional suku kaum Bajau Semporna pada Majlis Sangom Maglami-lami di Semporna. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

SEMPORNA: Penganjuran Regatta Lepa Semporna mampu memberikan limpahan dan impak besar untuk memajukan daerah itu sebagai promosi menggalakkan daripada sudut pelancongan sekaligus menjana ekonomi penduduknya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata `lepa’ atau `Perahu Tradisi’ telah dijadikan sebagai acara tahunan untuk diraikan sebagai pesta yang mendapat pengiktirafan dengan disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri.

Petugas Regatta Lepa 2019 berpakaian tradisional suku kaum Bajau Semporna bergambar berlatarkan perahu berhias atau Lepa. – Gambar SNT/ Mohd Adam Arinin

Menurut beliau sambutan Regatta Lepa yang diraikan di Semporna setiap tahun pada minggu ketiga bulan April memiliki keunikan tersendiri dan bukan sekadar memperagakan perahu berhias oleh kaum Bajau di daerah itu, malah turut menjadi tarikan pelancong.

“Di samping itu Regatta Lepa juga memperkayakan lagi khazanah kebudayaan negeri Sabah yang perlu terus dipelihara untuk dipertontonkan dan didokumentasikan bagi generasi belia masa depan kerana ia salah satu produk dan aset kepada masyarakat Bajau di negeri ini.

Kelihatan pengunjung merakamkan gambar berlatarkan perahu berhias atau lepa ketika berkunjung di Pesta Regatta Lepa 2019 di Semporna. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Oleh itu syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Induk Regatta Lepa dan semua pihak yang terlibat dalam menyumbang tenaga, kesungguhan serta komitmen tinggi untuk menjayakan Regatta Lepa ke-26 tahun ini,” katanya di sini malam tadi.

Beliau berucap sempena sambutan majlis Sangom Maglami-Lami dan Pertandingan Pemilihan Ratu Lepa Regatta Lepa Jubli Perak 2019 di Dataran Regatta Lepa yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin yang turut dihadiri isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Antara perahu berhias atau lepa yang menyertai pertandingan lepa tercantik pada Pesta Regatta Lepa 2019 di Semporna. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Hadir sama dalam program itu ialah isteri beliau, Datin Seri Shuryani Shuaib serta dua timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew.

Menariknya Mohd Shafie bersama isteri turut mendapat perhatian pengunjung apabila melapangkan kesudian menunjukkan kemahiran menari tradisional suku kaum Bajau Semporna pada Majlis Sangom Maglami-lami.

Jelitawan kaum Bajau Semporna yang bersaing bagi meraih gelaran Ratu Lepa 2019 di Majlis Sangom Maglami-lami yang diadakan di Dataran Lepa sempena Pesta Regatta Lepa 2019 di Semporna. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Dalam pada itu Mohd Shafie berkata kesejahteraan yang dinikmati negara yang mempunyai 80 etnik dari dahulu sehingga hari ini merupakan asas dan agenda yang sentiasa diberikan keutamaan oleh kerajaan.

Katanya selain memberi perhatian ke arah membangunkan negara ini sebagai sebuah negara maju di Asia, kerajaan negeri yang diterajui oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) bersama Pakatan Harapan dan Upko telah membuktikan bahawa aspirasi untuk membangunkan Sabah turut ditekankan. – SabahNewsToday