Pilih Bahasa

Remaja dipercayai lemas masih belum ditemui

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Anggota bomba dan penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat turut dibantu penduduk kampung. – Gambar SNT / Ehsan Bomba

KENINGAU: Operasi mencari dan menyelamat seorang pelajar lelaki SMK Sepulut yang dipercayai lemas semasa mandi di Sungai Talangkai Sepulut ditangguhkan ekoran faktor keselamatan.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Keningau, Yuszaimi Hairul Azwan Juatan berkata, operasi itu dihentikan pada pukul 6.30 petang tadi.

Beliau berkata, mangsa yang hilang itu dikenali sebagai Deanly Udin, 16, dan pencarian akan disambung esok.

Penduduk kampung membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa di Sungai Talangkai Sepulut. – Gambar SNT / Ehsan Bomba

“Keadaan tidak mengizinkan untuk anggota bomba dan penyelamat meneruskan pencarian kerana sudah gelap dan keadaan arus sungai deras,” katanya di sini hari ini.

Yuszaimi berkata, mangsa dipercayai lemas semasa mandi bersama rakan-rakannya di Sungai Talangkai. – SabahNewsToday