Pilih Bahasa

Remaja lemas ketika beriadah di Sungai Wasai

Oleh Junaidi Ladjana

TELUPID: Aktiviti riadah sekumpulan remaja bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas di Sungai Wasai, Kampung Batu 4, di sini petang kelmarin.

Mangsa Joshua Franklin Francis, 15, dikatakan melakukan aktiviti riadah bersama rakan-rakannya sebelum dikhuatiri lemas di sungai berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan membabitkan mangsa lemas jam 3.44 petang, seramai lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut dibantu oleh orang awam membuat penyelamatan di permukaan air dan penyelaman di sekitar lokasi terakhir mangsa hilang.

“Kira-kira jam 4.55 petang, mangsa berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat dan orang awam tidak jauh dari lokasi terakhir dia dilihat,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi menyelamat ditamatkan jam 6.10 petang,” katanya. -SabahNewsToday