Pilih Bahasa

Remaja perempuan 16 tahun ditahan lalok bersama enam lelaki

Oleh Junaidi Ladjana

Remaja perempuan ditahan bersama enam lelaki ketika sedang leka menagih syabu di sebuah rumah di Putatan. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

PUTATAN: Tujuh individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang sedang leka menagih syabu di sebuah rumah di Kampung Sri Pandan Petagas di sini, dicekup Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tengah malam tadi.

Semua mereka ditahan anggota dan pegawai AADK Kota Kinabalu dan Negeri dalam Operasi Cegah Siri 1/2020 pada pukul 12.30 tengah malam.

Operasi bermula pukul 9 malam dan berakhir 3 pagi tadi turut menahan tiga lelaki lain di tiga lokasi sekitar Putatan dan Petagas.

Ketua AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata seramai 10 anggota dan pegawai AADK melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Sri Pandan, Petagas disyaki sebagai ‘port’ penagih dadah.

“Ketika serbuan terdapat enam lelaki dan seorang perempuan berada di ruang tamu dipercayai sedang menghisap syabu.

“Semua mereka cuba melarikan diri namun gagal selepas rumah berkenaan sudah dikawal rapi oleh anggota dan pegawai AADK Kota Kinabalu dan Negeri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Lawrence berkata, semua mereka kemudian di bawa ke Pejabat AADK Kota Kinabalu untuk tindalan lanjut.

Antara individu yang ditahan kerana disyaki penagih dadah dalam Ops Cegah di sekitar Petagas dan Putatan. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

“Hasil ujian air kencing mendapati semua mereka termasuk gadis berusia 16 tahun itu positif dadah jenis Methamphetamine atau syabu.

“Perempuan berusia 16 itu juga dipercayai dibawa oleh salah seorang suspek dan baru selesai menghisap syabu. Dia mengaku mula menghisap syabu tahun lalu akibat pengaruh rakan lelakinya,” katanya.

Menurutnya lagi, AADK turut menahan tiga lagi lelaki di beberapa lokasi di Kepayan dan Taman Ketiau.

“Semua suspek berusia 16 hingga 40 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya. -SabahNewsToday