Pilih Bahasa

Reman enam lelaki terbabit kes bunuh gajah dilanjutkan dua hari

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Enam lelaki terbabit kes pembunuhan kejam seekor gajah Pygmy Borneo yang ditemui mati akibat ditembak di hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, dekat sini, 23 September lalu, disambung reman dua hari lagi sehingga esok.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata permohonan sambung reman semua suspek itu dibuat di Mahkamah Majistret Tawau selepas tempoh reman empat hari yang diperintahkan sebelum ini berakhir semalam.

Peter Umbuas. Gambar Fail SNT

Beliau berkata perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus itu bertujuan membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 8(c) Akta Senjata Api terhadap suspek.

“Polis dalam proses akhir melengkapkan kertas siasatan, selari dengan siasatan dikendalikan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rabu lalu, enam suspek lelaki termasuk seorang warga asing berusia antara 48 hingga 68 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di kawasan Felda Umas, dekat sini.

Dalam serbuan itu polis merampas senjata api jenis pump gun buatan Iver Johnson Single Barrel 30 senapang Raifal buatan sendiri jenama Sharp Innova dan senapang patah buatan sendiri (bakakuk).

Turut dirampas, sembilan butir peluru hidup jenis Gb Buckshot warna putih, 47 kelongsong peluru jenis Mega Oob warna hijau, tiga butir kelongsong peluru jenis Rimba warna biru dan sebutir kelongsong peluru jenis Gb Buckshot warna hitam.

Polis turut merampas gading gajah yang ditanam dan disembunyikan salah seorang daripada suspek.-SabahNewsToday