Pilih Bahasa

Remote control televisyen punca bapa jadikan anak tebusan

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Hanya kerana alat kawalan jauh ‘remote control’ televisyen, seorang lelaki hilang pertimbangan apabila menjadikan anaknya sebagai tebusan hingga hampir mencederakannya dalam kejadian di Taman Seri Kionsom, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, pasukan polis terpaksa mengambil masa lebih 2 jam bagi menenangkan lelaki berusia 36 tahun itu yang mengugut akan menikam anaknya dibahagian leher menggunakan pemutar skru.

Pegawai yang berjaya menenangkan suspek, Inspektor Sabirah Ramlee, menunjukkan gambar suspek dan senjata yang digunakan suspek. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata ketika kejadian, suspek yang memaut leher anak lelakinya berusia lapan tahun turut mengacukan sambil beberapa kali menghentak pemutar skru di kepala kanak-kanak berkenaan.

Katanya suspek turut mengugut anggota polis yang berada di lokasi kejadian supaya tidak mendekatinya dan memberitahu akan menikam anaknya sendiri sekiranya ingkar.

“Suspek tetap berkeras tidak mahu melepaskan anaknya yang ketika itu ketakutan.

“Polis terpaksa menggunakan kaedah psikologi bagi menenangkan suspek sebelum dia menyerahkan pemutar skru kepada polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata pasukan polis yang berada di lokasi kejadian terus menahan suspek dan dibawa balik ke Balai Polis untuk siasatan lanjut.

Katanya hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis syabu.

“Siasatan lanjut mendapati suspek turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kes suspek menetak isterinya kira-kira dua bulan lalu.

“Kes sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Suspek turut mempunyai dua kes dadah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. – SabahNewsToday