Pilih Bahasa

Riang Raya Aidilfitri SK Sri Gaya meriah

Oleh Mohd Adam Arinin

Perkarangan dewan dipenuhi oleh tetamu yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Riang Raya SK Sri Gaya. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kira-kira 2,000 pengunjung termasuk ibu bapa dan pelajar hadir pada Majlis Rumah Terbuka Riang Raya Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya 2019, di sini hari ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sri Gaya, Mohammad Arif Sakaran berkata majlis yang dibuat julung kali itu adalah cetusan idea daripada pihaknya bersama kelab guru sekolah berkenaan. 

“Majlis ini kita adakan bukan setakat meraikan Hari Raya Aidilfitri sahaja tetapi ia lebih kepada mengeratkan silaturrahim diantara PIBG dan ibu bapa pelajar.

Mohammad Arif merakamkan gambar bersama exco PIBG sekolah pada Majlis Rumah Terbuka Riang Raya SK Sri Gaya. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pada hari ini kita menerima kunjungan yang sangat luar biasa daripada pihak ibu bapa, warga pendidik dan juga alumni sekolah ini untuk meraikan sambutan Aidilfitri SK Sri Gaya.

“Saya difahamkan, majlis ini turut dikunjungi oleh masyarakat setempat dari kawasan perumahan di sini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis itu Dewan SK Sri Gaya di sini pagi tadi.

Hadir sama Guru Besar SK Sri Gaya, Alhazmi Abdullah dan beberapa exco PIBG sekolah berkenaan.

Mohammad Arif (kanan) menyerahkan hamper dan duit raya kepada Anak Permata pada Majlis Rumah Terbuka Riang Raya SK Sri Gaya. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sebanyak 13 buah gerai menyediakan pelbagai juadah hari raya termasuk kuih muih yang disediakan kepada pengunjung yang hadir pada majlis itu. 

“Kesemua 13 gerai ini adalah inisiatif daripada guru kelas masing-masing yang menyediakan pelbagai juadah hari raya yang diberikan secara percuma kepada pengunjung,” tambahnya. 

Dalam pada itu, pihak PIBG sekolah juga turut menyumbangkan sebanyak 15 buah hamper dan duit raya kepada Anak Permata di sekolah itu.

Mohammad Arif (kiri) bersama Alhamzmi (dua dari kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Riang Raya SK Sri Gaya. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Anak Permata merupakan antara golongan murid sekolah ini yang tidak berkemampuan dan kurang bernasib baik dan hari ini kita menghulurkan sedikit bantuan kepada murid-murid untuk meringankan sedikit beban dan menceriakan mereka pada bulan Syawal ini,” jelasnya. 

Selain itu, aktiviti seperti nyanyian karaoke, pertandingan menganyam ketupat dan baju raya kreatif serta cabutan nama bertuah murid turut diadakan bagi menghangatkan suasana majlis yang bermula seawal 7 pagi dan berakhir pada tengah hari. – SabahNewsToday