Pilih Bahasa

RM1.13 bilion peruntukan bangunkan kemudahan infrastruktur Sabah 2019 : KPLB

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun (dua dari kiri) menyampaikan anyaman tikar selisir suku kaum Bajau kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Datuk Seri Rina Haron di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Srikandi Bersatu Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan berjumlah RM1.13 bilion tahun ini bagi menyediakan kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan sistem jalan raya di kawasan luar bandar di Sabah.

Menterinya Datuk Seri Rina Haron berkata Sabah antara negeri tertinggi menerima peruntukan daripada KPLB pada tahun ini khusus untuk penduduk kawasan luar bandar.

“KPLB juga merancang mengadakan Karnival Usahawan Desa (KUD) peringkat Zon Borneo pada Ogos depan sebagai salah satu platform usahawan terutamanya usahawan luar bandar memasarkan produk mereka.

“Karnival itu dilihat mampu membantu usahawan desa untuk mencari peluang meningkatkan produktiviti pengeluaran dan pasaran baharu selain menggalakkan pemasaran atas talian dan meminta Srikandi Bersatu Sabah merebut peluang yang disediaka oleh pihak kementerian,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Makan Tengah Hari Bersama Srikandi Sabah di D’Place Kinabalu semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Srikandi, Shamsilah Siru; Ketua Penyelaras Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun yang juga Ahli Parlimen Beaufort dan Timbalannya, Datuk Amisah Yassin.

Azizah Mohd Dun dan Rina Haron bergambar kenangan bersama Ketua-ketua Penaja Srikandi Bersatu Sabah bersama dengan timbalan masing-masing. – Gambar SNT/Ihsan Srikandi Bersatu Sabah

Rina berkata KPLB juga menyediakan sebanyak 44 program sosial termasuk menaik taraf serta membaik pulih masjid dan surau, dewan serbaguna, jambatan dan sistem perparitan di kawasan luar bandar Sabah melibatkan peruntukan RM6.47 juta.

Kesemua projek pembangunan infrastruktur luar bandar itu akan dilaksanakan dan disiapkan pada tahun ini bagi memberi manfaat kepada penduduk di kawasan tersebut sekali gus memastikan keselesaan dan kesejahteraan mereka, katanya.

“Kementerian juga telah mengenal pasti sebanyak 50 projek jalan perhubungan desa untuk dilaksanakan di negeri itu pada peringkat pertama tahun ini melibatkan peruntukan RM10 juta.

“Projek jalan perhubungan desa itu telah diluluskan dan dalam proses sebut harga. Pembinaan projek itu dijangka siap pada Jun 2019. Kementerian juga sedang mengenalpasti senarai jalan perhubungan desa yang akan dilaksanakan bagi peringkat kedua kelak mengikut keutamaan keperluan,” katanya.

Menurut Rina yang juga Ketua Srikandi Bersatu menerusi menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Sabah memperuntukkan sebanyak RM22.04 juta dana bermanfaat usahawan di negeri ini.

Beliau berkata peruntukan berkenaan mengikut kluster perniagaan termasuk perniagaan berkaitan gaya hidup, kesihatan, pembinaan, makanan dan teknologi manakala program yang dirancang memfokuskan kepada peningkatan serta memperkasakan usahawan sedia ada agar lebih berdaya saing dan mampu melonjakkan ekonomi diri mahupun negeri.

Tambah beliau lagi KPLB juga menetapkan dasar pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)  jawatankuasa tersebut adalah 30 peratus wanita untuk memperkasakan wanita.

“Dibawah kementerian ini satu pelan tindakan iaitu Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 dirangka yang menggariskan enam teras mencakupi prasarana, ekonomi, keusahawanan, modal insan, wanita dan sistem penyampaian,” katanya.

Jelasnya pelan itu akan menjadi sebahagian daripada pelan strategik dan hala tuju KPLB serta jabatan dan agensi dibawahnya untuk tempoh lima tahun akan datang. – SabahNewsToday