Pilih Bahasa

RM1.3 juta laksana lima projek baikpulih, tambahbaik kemudahan infrastruktur

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Sebanyak lima projek kecil dianggarkan berjumlah RM1.3 juta diluluskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO) bagi melaksanakan penambahbaikan infrastruktur bagi bandaraya Kota Kinabalu tahun ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata pelaksanaan projek menambahbaik kemudahan awam di bandaraya itu melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad dan penghadang di Jalan Coastal.

Foong Hin (tengah) merakamkan gambar bersama Norzawiyah ((enam dari kiri) dan kakitangan JaPen yang menyerta walkabout sempena Program Info On the Wheels oleh Jabatan Penerangan. – Gambar SNT/Ihsan Parlimen Kota Kinabalu

Selain itu katanya peruntukan yang diluluskan tersebut adalah untuk menaiktaraf jalan di bulatan air pancut Jalan Gaya, Kota Kinabalu.

“Bagaimanapun kita masih menunggu waran daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) barulah kita dapat memulakan kerja-kerja tersebut.

Dari kiri, Foong Hin, Lee Fat dan Norzawiyah merakamkan gambar dengan salah seorang peniaga yang turut menerima Jalur Gemilang. – Gambar SNT/Ihsan Parlimen Kota Kinabalu

“Kita berharap ia dipercepatkan kerana kerajaan telah meluluskan peruntukkan ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di Jalan Gaya sempena Program Info On the Wheels oleh Jabatan Penerangan di sini hari ini.

Program itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas, Tan Lee Fatt dan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka.

Gelagat Foong Hin (tengah) yang berkesempatan bermain muzik tempatan mencuit hati pemiliknya semasa melakukan aktiviti walkabout di Tamu Jalan Gaya. – Gambar SNT/Ihsan Parlimen Kota Kinabalu

Tambah Foong Hin lagi kerja membaik pulih di beberapa tempat juga akan dilaksanakan antaranya membaiki lantai konkrit pasar ikan Kota KInabalu dan struktur atap Gereja Katolik Kampung Kopungit Luyang.

Mengenai program tersebut beliau berkata pihaknya mengambil peluang untuk mengagihkan Jalung Gemilang kepada orang ramai terutama peniaga dan pengunjung Tamu Jalan Gaya yang diadakan pada setiap Ahad.

Gelagat Foong Hin (tengah) yang berkesempatan bermain muzik tempatan mencuit hati pemiliknya semasa melakukan aktiviti walkabout di Tamu Jalan Gaya. – Gambar SNT/Ihsan Parlimen Kota Kinabalu

Katanya penyerahan Jalur Gemilang itu akan dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini. – SabahNewsToday