Pilih Bahasa

RM170,000 diperuntukan atasi masalah air di Penimbawan

TUARAN: Sebanyak RM170,000 telah diperuntukkan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah bekalan air di Kampung Penimbawan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Menurutnya, ia ekoran tangki paip graviti yang ada di kampung itu sangat kritikal dan tidak mampu menampung keperluan penduduk.

Madius (tengah) menyampaikan bantuan kepada Ricky, wakil penerima sambil disaksikan Herman (dua kanan) dan Joisin (kanan sekali).-Gambar SNT/Ihsan Pejabat MTI

“Setelah penelitian dibuat, kita telah mengambil keputusan untuk menetapkan peruntukan ini bagi menyelesaikan masalah yang sekian lama dihadapi oleh penduduk tempatan.

“Kita sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan ia segera ditangani kerana kita mahu menyelesaikan masalah ini sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengagihkan pakej bantuan makanan fasa lima untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tamparuli di sini hari ini.

Sebanyak 1,000 pakej makanan disampaikan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk diagihkan kepada penduduk terjejas di kampung seliaan masing-masing.

Madius berkata selain Penimbawan, peningkatan keperluan asas penduduk juga akan turut diberi tumpuan di kawasan-kawasan lain di dalam Parlimen Tuaran.

“Untuk makluman setiap musim kemarau sekurang-kurangnya ada 41 kampung yang terjejas bekalan air di DUN Tamparuli dan Kiulu, di mana buat masa ini keperluan itu disalurkan melalui penghantaran daripada Jabatan Air.

“Kita tidak dapat menyelesaikan semuanya sekali gus, tetapi kita akan berusaha untuk mengatasi masalah ini satu per satu,” jelasnya yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

Tambahnya, penyediaan keperluan asas itu juga merangkumi membaik pulih jalan raya terutamanya di kampung-kampung.

“Dalam rekod, jalan-jalan raya ini sudah diselenggara dan ada juga yang telah ditimbus dengan batu kelikir.

“Tapi saya berpendapat ini tidak dapat menyelesaikan masalah. Jadi pendekatan kali ini, kita simen jalan-jalan raya ini secara berperingkat-peringkat,” kata Madius.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Herman Tungginging; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Jeffry Teo; dan Setiausaha Politik Madius, Joisin Romut. -SabahNewsToday