Pilih Bahasa

RM2.3 juta laksana projek Pembangunan Sumber Bawah Tanah Sabah

Oleh Alfred Petrus

Ewon (kanan) menandatangani plak perasmian Telaga Kampung Piasau, turut kelihatan Paulus (tengah). – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA BELUD: Kerajaan melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah memperuntukkan kira-kira RM2.3 juta untuk melaksanakan lima projek pembangunan berkaitan sumber air bawah tanah di seluruh negeri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Bendick berkata lima projek itu merangkumi Projek Penilaian Rezab Air Tanah di Lembangan Kedamaian (Kota Belud) dan Pembangunan Sumber Air Tanah di Kawasan Bermasalah Bekalan Air Bersih di beberapa daerah.

Selain itu turut dilaksanakan ialah projek Penggunaan Air Tanah Sebagai Sumber Air di Loji-loji Rawatan Air yang menghadapi kekuranagan sumber air dan Program Pembangunan Water Balance bagi pengurusan sumber air negara bersama Jabatan Pengairan dan Saliran serta Program Pencegahan kebakaran dan pengurusan Tanah Gambut di daerah Beaufort dan Kuala Penyu bersama Jabatan Alam sekitar.

“Sejak 2016 hingga kini JMG Sabah di bawah Projek Bekalan Air Bersih di Kawasan Bermasalah Air telah membina telaga tiub dan sistem penapisan di beberapa kawasan yang menghadapi masalah bekalan air di seluruh Sabah dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Telaga tiub dan sistem penapisan yang telah dibina ialah di Kampung Dudar Kota Belud (2016), Kampung Sarang Kota Belud (2016), Kampung Timbang Dayang Kota Belud (2017), Kampung Tangkol Kota Marudu (2017), Kampung Pompodon Kota Marudu (2018) dan Kampung Piasau Kota Belud (2018).

“Secara keseluruhannya ia melibatkan kos lebih kurang RM700,000,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian dan penyerahan Telaga dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) di Kampung Piasau yang dilaksanakan JMG Sabah di Dewan Kampung Piasau, di sini hari ini.

Ewon berkata bagi telaga dan sistem penapisan air di Kampung Piasau Kota Belud, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM60,000 untuk menampung kos kerja kajian potensi sumber air bawah tanah, membina telaga tiub dan membangunkan sistem penapisan air bawah tanah.

Ewon (kanan) mendengar penjelasan mengenai projek Telaga dan Sistem Penapisan Air daripada Jaineh (tengah). – Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Saya difahamkan bahawa, telaga dan sistem penapisan ini berupaya mengeluarkan air sebanyak 48,000 liter sehari (berdasarkan pengepaman selama 12 jam secara berterusan). 

“Telaga dan sistem penapisan yang dibina ini adalah yang pertama dibina menggunakan konkrit atau pembentung. Ia merupakan satu inisiatif dan inovasi dari JMG Sabah. 

“Pembinaan telaga ini dimulakan pada September 2018 manakala sistem penapisan siap sepenuhnya pada Mac 2019. Ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk Kampung Piasau,” katanya.

Katanya KPLB menyokong usaha JMG dan berharap usaha murni itu dapat diteruskan untuk manfaat seluruh rakyat Sabah khususnya di kawasan luar bandar.

“Ini adalah antara usaha kerajaan untuk menyediakan bekalan air alternatif luar bandar kepada penduduk kampung yang sering menghadapi masalah air.

“Saya juga difahamkan bahawa JMG Sabah telah mengenal pasti beberapa lokasi dalam daerah Pitas, Ranau, Kota Marudu dan Kota Belud untuk melaksanakan pembinaan telaga dan sistem penapisan pada tahun ini dan tahun depan,” katanya. – SabahNewsToday