Pilih Bahasa

RM2 juta untuk program bekalan air luar bandar alternatif Sabah: KPLB

Ewon (tengah) mendengar taklimat ringkas daripada JMG. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk melaksanakan Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (Balba) tahun ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata program tersebut adalah antara inisiatif baharu yang diperkenalkan kementeriannya bagi membantu penduduk luar bandar yang sering berhadapan dengan masalah bekalan air.

“Balba adalah program pembekalan air dengan kaedah alternatif terawat sama ada menggunakan sistem paip air graviti dan telaga tiub atau sumber air bawah tanah di kawasan terpencil dan jauh daripada capaian sistem retikulasi Jabatan Air Negeri Sabah.

“KPLB Sabah bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah untuk mengenalpasti sumber air bawah tanah sebagai bekalan air di kawasan kampung kerana mereka mempunyai kepakaran dan teknologi hidrogeologi mengenalpasti sumber air bawah tanah dan membina sistem telaga tiub bekalan air dari bawah tanah,” katanya selepas menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia di pejabatnya di sini, hari ini.

Ewon berkata peruntukan yang tersedia ini mencakupi kajian geofizik, pemasangan telaga tiub, bangunan pam dan rawatan air bawah tanah.

Pada masa yang sama, katanya kementerian itu juga boleh memperbaiki telaga air sedia ada yang dibina penduduk kampung luar bandar dengan menggunakan kaedah terbaharu ‘Telaga Caisson’ yang dibangunkan oleh JMG.

Ewon berkata kementeriannya akan menyediakan peruntukan untuk membina bangunan pam air dan rawatan air di Kampung Gaur dan Kampung Nahaba Kadamaian Kota Belud yang mana telaga tiub sudah siap dibina dan dipasang oleh JMG tahun lepas.

Dalam kunjungan itu beliau bersetuju untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Telaga Tiub SMK Tandek Kota Marudu pada 26 Mac ini.

Kunjungan itu diketuai oleh Penanggung Timbalan Pengarah (Makmal) JMG Sabah, Dr Morius Bantas dan disertai oleh Ketua Aktiviti Geo Warisan, Jenneth Cyril; Ketua Aktiviti Geologi Alam Sekitar, Fredolin Javino dan Ketua Aktiviti Hidrogeologi, Jaineh Lingi. – SabahNewsToday