Pilih Bahasa

RM3.3b pinjaman PTPTN diluluskan kepada pelajar Sabah setakat Julai 2019

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sebanyak RM3.3 bilion pengeluaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah diluluskan kepada 191, 855 pelajar di Sabah setakat Julai tahun ini.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata menerusi pinjaman diluluskan itu, secara purata kira-kira 11,000 anak Sabah memperoleh peluang melanjutkan pengajian ke pendidikan tinggi dengan jumlah peruntukan tahunan sebanyak RM180 juta.

Wan Saiful (dua kiri) bersama Datuk Ewon Benedick mewakili Ketua Menteri merasmikan Program Jelajah SSPN 2019 Peringkat Negeri di sini hari ini. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Wan Saiful berkata pihaknya sentiasa membantu semua golongan yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi termasuklah pelajar di Sabah.

“Kita mensasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1 bilion dengan bilangan 500,000 akaun baharu di seluruh negara tahun ini. Oleh itu, salah satu langkah yang diambil dengan memperkukuhkan lagi kerjasama yang sedia terjalin dengan kerajaan negeri Sabah.

“Antara usaha termasuklah mencadangkan kerajaan negeri menjadikan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai pilihan utama dalam pemberian insentif atau hadiah bagi pelbagai program tahun 2020 dan tahun seterusnya.

“Selain itu, mewujudkan program Tabung Simpanan Pendidikan Negeri bagi kelahiran baru di negeri ini seperti pelaksaan di negeri Kedah, Perak, Melaka dan Terengganu. Setiap kelahiran baru di semua negeri terbabit akan menerima sumbangan sebanyak RM100 sehingga RM200 mengikut negeri yang diberikan dalam bentuk akaun SSPN.

“Menyediakan hadiah kepada pelajar cemerlang bagi peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam bentuk akaun SSPN.

“Malah kita turut mencadangan kerajaan negeri menyediakan hadiah dalam bentuk sama bagi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada penjawat awam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika Majlis Perasmian Program Jelajah SSPN 2019 Peringkat Negeri, di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dilaksanakan bermula bulan Ogos lalu sehingga September ini, terdapat 11 lokasi dipilih bagi siri jelajah berkenaan di Sabah bagi mendidik masyarakat berkaitan budaya penabungan untuk tujuan pendidikan tinggi melalui SSPN.

Turut disampaikan sumbangan akaun SSPN-i bernilai RM100,000 kepada 1,000 anak-anak asnaf membabitkan 25 kawasan parlimen seluruh Sabah menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN.

Menerusi sumbangan berkenaan, setiap pelajar akan menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PPTN melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

Sementara itu, Wan Saiful berkata beliau berharap dan yakin cadangan diberikan itu akan  diperhalusi kerajaan negeri demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri terbabit. -SabahNews Today