Pilih Bahasa

RM3 juta peruntukan tambahbaik kemudahan asas Kampung Sejahtera

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ewon (tengah) menyampaikan sumbangan touchpoint sebanyak RM5,000 kepada MPKK Kampung Tiong Baru Membakut. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

MEMBAKUT: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyediakan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur asas untuk 10 buah Kampung Sejahtera yang dikenalpasti di seluruh Sabah tahun ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata kampung pertama yang dipilih sebagai Kampung Sejahtera tahun ini ialah Kampung Tiong Baru Membakut.

Beliau berkata, pemilihan tersebut berdasarkan kepada keperluan pembangunan asas di kampung itu yang masih berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk ketiadaan bekalan elektrik dan air terawat.

“Kampung ini kita kenalpasti tahun lalu lagi dan ada beberapa kampung lagi yang kita terima cadangan daripada pejabat daerah dan wakil rakyat tetapi oleh kerana kita hanya mensasarkan 10 buah kampung setiap tahun.

“Sembilan lagi kampung yang kita kenalpasti untuk program kampung sejahtera tahun ini antaranya di daerah Kota Belud, Keningau, Nabawan dan Paitan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Kampung Sejahtera di Dewan Kampung Tiong Baru Membakut, kelmarin.

Ewon bersalaman dengan penduduk kampung yang hadir pada program Bengkel Kampung Sejahtera di Dewan Kampung Tiong Baru Membakut. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, setakat ini KPLB Sabah telah melaksanakan Program Kampung Sejahtera di 60 buah kampung seluruh Sabah sejak ia diperkenalkan pada 2010.

Katanya menjelang hujung tahun ini KPLB menjangkakan dapat mewujudkan 70 buah kampung sejahtera kerana sasaran setiap tahun ialah 10 buah kampung bagi memastikan rakyat yang tinggal di kawasan terpencil di negeri ini menikmati kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik dan bekalan air.

Bagaimanapun, beliau menambah pada awal pelaksanaan program itu tidak banyak kampung yang dipilih kerana kementerian belum melihat keberkesanannya.

Beliau berkata, program Kampung Sejahtera di bawah KPLB Sabah bermatlamat membangunkan secara berperingkat kemudahan asas dan sosio-ekonomi kampung-kampung di luar bandar yang terletak jauh dan terpencil di seluruh pelusuk negeri ini.

“Konsep kampung sejahtera ialah memilih kampung terpinggir yang mempunyai pelbagai isu infrastruktur asas. Walaupun Kampung Tiong Baru sudah ada jalan raya yang baik berbanding kampung lain namun masih ada isu lain seperti pembangunan ekonomi.

Ewon bergambar bersama penduduk Kampung Tiong Baru Membakut. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

“Sebab itu kita turut bekerjasama dengan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang bersesuaian termasuk Jabatan Pertanian untuk membantu melaksanakan program pembangunan ekonomi,” katanya.

Ewon berkata antara program pembangunan ekonomi yang dikenalpasti untuk dilaksanakan penduduk Kampung Tiong Baru ialah mengembangkan aktiviti sedia ada seperti tanaman lada hitam, getah dan sayur-sayuran bagi meningkatkan sumber pendapatan mereka.

Terdahulu ketika merasmikan majlis itu, Ewon mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi menaiktaraf jalan ke gereja dan Dewan Kampung Tiong Baru serta membina perhentian bas.

Selain itu beliau turut menyampaikan sumbangan touchpoint sebanyak RM5,000 untuk kegunaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tiong Baru Membakut menjalankan kerja-kerja pentadbiran kampung. – SabahNewsToday