Pilih Bahasa

RM30,000 disalur kepada mangsa kebakaran Kampung Pasir Putih

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Christina (kiri) menghulurkan sumbangan kepada sebuah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Pasir Putih Putatan, semasa melawat penempatan sementara mangsa di Dewan Serbaguna Putatan. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan hari ini meluluskan bantuan sebanyak RM30,000 kepada mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan menerusi Tabung Bencana Alam Kebangsaan (NDRF) bagi menyediakan keperluan mereka.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah berjanji untuk menyalurkan bantuan itu di bawah peruntukan Kementerian Wanita Keluarga dan Masyarakat.

“Dana itu bakal disalurkan terus ke Pejabat Parlimen Putatan dan Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari bersama pihak berkaitan lain akan menguruskan pengagihan bantuan itu untuk membantu mangsa kebakaran tersebut.

“Langkah itu penting kerana kita mahu memastikan bantuan tersebut sampai kepada sasaran,” katanya kepada pemberita selepas melawat penempatan sementara mangsa kebakaran iaitu di Dewan Serbaguna Putatan di sini hari ini.

Dalam lawatan itu Christina yang menyampaikan sumbangan RM5,000 daripada pejabat Parlimen Putatan turut diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datu Uda Sulai dan ADUN Likas, Tan Lee Fatt.

Pada Jumaat lalu, sekurang-kurangnya 315 mangsa daripada 75 buah keluarga di Kampung Pasir Putih, Putatan kehilangan tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dijilat api.

Selepas itu, satu lagi kejadian kebakaran berlaku di Sabah dan kali ini melibatkan 81 buah rumah termasuk dua kuaters guru di Pulau Banggi, Kudat pada Ahad lalu.

Sementara itu Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri gembira dengan keprihatinan syarikat, organisasi, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu di negeri ini yang sumbangan berterusan bagi meringankan beban mangsa kebakaran itu.- SabahNewsToday