Pilih Bahasa

RM4.8 Juta Laksana Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah Tahun 2020: Ewon

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah memperuntukan sebanyak RM4.8 juta untuk melaksanakan Program Rumah Sejahtera Rakyat (RSR), pada tahun 2020.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata program baharu kementerian itu telahpun dimulakan tahun ini dan akan diteruskan pada tahun depan.

Ewon semasa menyampaikan ucapan penggulungan bagi pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berkata tumpuan program itu lebih kepada kampung mundur terutamanya yang dimasukkan dalam Program Kampung Sejahtera dan Ladang Mini Estet Sejahtera (MESEJ) sedia ada dengan sasaran pembinaan 80 buah rumah.
 
“Di samping itu, kementerian juga akan meneruskan usaha untuk membangun dan memajukan perkampungan mundur melalui pelaksanaan Program Kampung Sejahtera.
 
“Pada tahun 2020, KPLB Sabah mensasarkan sebanyak 10 buah kampung dimasukkan dalam Program Kampung Sejahtera,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya, pada persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
 
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, pada tahun 2020, kerajaan negeri memperuntukkan RM124.35 juta kepada KPLB Sabah untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan peruntukan pembangunan.
 
Beliau berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai program sedia ada iaitu Projek Pembangunan Kecil, Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Program Satu Daerah Satu Produk, Program Pembangunan Usahawan Desa, Peruntukan Khas Adun-Adun dan Program Pembasmian Kemiskinan.
 
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM15.45 juta akan digunakan untuk membiayai pelaksanaan Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Projek Pembangunan Kecil, Program Satu Daerah Satu Produk dan Pembangunan Usahawan Desa.
 
“Peruntukan selebihnya di bawah Program Pembasmian Kemiskinan akan digunakan untuk melaksanakan inisiatif program-program baharu seperti Aktiviti Ekonomi Tambahan, MESEJ Pertanian Bukan Komoditi dan Perusahaan Burung Walit Skala Sederhana, Membuka Ladang MESEJ Baharu dengan Tanaman Makanan dan Program Lawatan Pendedahan Peserta MESEJ,” katanya.
 
Katanya lagi, program-program lain seperti Program Bimbingan Keusahawanan Desa, Program Satu Daerah Satu Produk dan Pembangunan Pusat Pelancongan Luar Bandar Berasaskan Komuniti akan diteruskan menggunakan peruntukan berkaitan.
 
Menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh Adun-Adun mengenai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Majlis Pengurusan Komuniti Komuniti Kampung (MPKK), Mesej, Pengwujudan Daerah Kecil, Jalan Perhubungan Desa (JPD), Program Ameniti Sosial (PAMS) Lampu Jalan Kampung (LJK) dan kemudahan infrastruktur asas yang lain, Ewon berkata, kementeriannya akan mengambil maklum perkara itu.
 
“Mengenai PPRT, kerajaan negeri menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pelaksanaan PPRT iaitu setiap penama bantuan rumah Bina Baharu dan Baik Pulih haruslah berdaftar dalam sistem e-Kasih dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Daerah.
 
“Kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pelaksanaan PPRT Bina Baharu sahaja kerana pelaksanaan PPRT Baik Pulih hanya bersifat penyelesaian jangka pendek dan tidak dapat mengatasi permasalahan perumahan perumahan rakyat miskin luar bandar,” katanya.
 
Ewon berkata kerajaan negeri juga mahu agar peruntukan PPRT Baik Pulih dari kerajaan persekutuan diganti dengan PPRT Bina Baharu.
 
“Selain itu kementerian saya juga meminta agar pelaksanaan PPRT sama ada secara konvensional dan IBS (Industrialised Building System) harus dilaksanakan oleh Pejabat Daerah bagi mengelak pembaziran wang rakyat,” katanya.
 
Sebagai contoh katanya, PPRT Bina Baharu kendalian Giatmara di Ranau pada 2018 dibina atas tanah sempadan antara dua pemilik tanah menyebabkan pemilik tanah melalui pihak guamannya mengeluarkan surat meminta agar kementerian merobohkan sebahagian struktur rumah berkenaan yang termasuk dalam kawasan tanahnya dan merobohkan sama sekali rumah berkenaan.
 
“Insiden seperti ini adalah contoh ketara di mana ia pastinya membazirkan wang rakyat kerana terpaksa membina sebuah lagi rumah gentian kepada si penerima selain daripada memberikan masalah kepada penerima rumah PPRT dan pemilik tanah yang terpaksa mengambil tindakan undang-undang.;
 
“Oleh itu penyelesaian terhadap pembinaan rumah PPRT Bina Baharu sama ada yang dilaksanakan oleh pihak Pejabat Daerah atau Giatmara negeri perlu mengikut SOP yang sedia ada,” katanya.-SabahNewsToday