Pilih Bahasa

RMK12 akan dirangka dengan teliti dan komprehensif

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Perancangan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan dirangka dengan teliti dan komprehensif oleh kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata RMK12 meliputi halatuju strategik itu mengambil kira input oleh semua pihak berkepentingan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sebaik tiba pada Persidangan DUN Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Ia terdiri daripada pihak kementerian, agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli-ahli akademik.

“Dengan sokongan dan kerjasama padu daripada semua pihak khususnya daripada kerajaan persekutuan, saya yakin bahawa segala inisiatif dan program pembangunan yang telah dirancang kerajaan negeri dalam tempoh RMK12 pasti akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Saya juga yakin bahawa ekonomi negeri adalah berdaya tahan dalam menghadapi sebarang cabaran atau kejutan luaran sekiranya seua pembolehdaya dan asas-asas pertumbuhan utama negeri ini telah diperkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Masidi Manjun (Bersatu-Karanaan) berkenaan fokus, strategi dan pendekatan kerajaan negeri untuk memastikan Sabah mendapat manfaat yang optimum dalam penggubalan RMK12, di Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini.

Mohd Shafie menekankan bahawa semua faktor-faktor asas pertumbuhan, landasan yang kukuh dan persekitaran yang kondusif harus dibangunkan untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan di Sabah.

“Di sebalik senario tersebut dan ditambah dengan peruntukan pembangunan serta pelaburan yang besar, ekonomi negeri dijangka akan bertumbuh pada kadar lima hingga enam peratus dalam RMK12.

“Antara projek-projek pembolehdaya bermpak tinggi yang akan dilaksanakan di bawah RMK12 termasuklah pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu baharu, Southern Link Grid, projek janakuasa elektrik di Pantai Timur Sabah dan Upper Padas Hydro Power Plant.

“Selain itu juga, Empangan Air Papar, Infrastruktur ICT, sistem pengangkutan awam untuk tempoh jangka panjang, kemudahan penyejukan makanan segar dan sokongan logistik di pelabuhan-pelabuhan serta lapangan-lapangan terbang yamg strategik,” jelasnya. -SabahNewsToday