Pilih Bahasa

Roddy juara Bintang Kecil Zon Sabah 2019

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Lagu Kejoraku Bersatu nyanyian asal kumpulan Search membawa tuah kepada penyanyi cilik, Roddy Dezlly Roger apabila dinobatkan sebagai juara Bintang Kecil Zon Sabah 2019, malam tadi.

Mesra disapa Roddy, bintang kelahiran Penampang berkenaan berjaya menewaskan enam peserta lain yang datang daripada seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Roddy (tengah) muncul juara dalam Pertandingan Bintang Kecil Peringkat Zon Sabah malam tadi. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Roddy membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, trofi dan sijil penyertaan manakala enam finalis lain menerima saguhati RM500, trofi serta sijil penyertaan.

Sebagai juara, Roddy bakal mewakili zon Sabah ke Pertandingan Akhir Bintang Kecil Kebangsaan di Ipoh, Perak nanti.

Ditemui sejurus selesai pertandingan, anak sulung daripada dua beradik itu berkata kemenangannya adalah diluar jangkaan disebabkan ia penyertaan adalah keduanya selepas tahun lalu namun gagal meraih juara.

Keluarga tersenyum gembira dengan kejayaan Roddy. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Tidak sangka boleh menang malam ni sebab semua peserta kelihatan hebat dan memiliki kelebihan suara tersendiri.

“Saya hanya fikir mahu menyanyi serta melakukan persembahan yang terbaik malam ini.

“Mungkin tahun ini rezeki saya selepas berusaha keras sepanjang pertandingan ini berlangsung,” katanya meminati lagu genre rock sejak menyanyi pada usia lima tahun.

Bagaimanapun, Roddy berkata walaupun pembabitannya tahun lalu tidak membawa kemenangan tetapi beranggapan ia memberikan pengalaman berharga untuk pertandingan tahun ini.

Roddy memberi persembahan mantap untuk muncul juara. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Sementara itu, ditanya mengenai persiapannya bertanding diperingkat kebangsaan, Roddy menyatakan dia bersama guru vokal akan membuat pemilihan lagu yang bersesuaian selain mahu lebih banyak meluangkan masa menghadiri kelas vokal agar persembahan mampu memukau semua juri.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Radio Televisyen Malaysia (RTM), Nor Hayati Awang.

Roddy (tiga dari kanan) menerima hadiah kemenangan daripada Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) RTM, Nor Hayati Awang (dua dari kanan). Turut hadir Pengarah Penyiaran RTM Sabah, Malinaziah Datu Mohd Julaspi (kanan) pada pertandingan akhir Bintang Kecil Zon Sabah di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Turut hadir Pengarah Penyiaran RTM Sabah, Malinaziah Datu Mohd Julaspi.-SabahNewsToday