Pilih Bahasa

Rokok bernilai RM64 ribu dirampas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: 820 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM64,000 ditemukan di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Perdana yang diparkir di tepi jalan, Persimpangan Bulatan Kalabakan, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA, Superintendan Mustapha Othman bagaimanapun berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, tiada tangkapan suspek dibuat berikutan kenderaan yang dirampas berhenti di tepi jalan dipercayai ditinggalkan pemandu sebaik menyedari kehadiran pihak penguatkuasa.

820 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM64,000 dirampas dan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut. Gambar SNT / Ihsan PGA Tawau

“Pemeriksaan awal mendapati tiada individu berada di dalam kenderaan berkenaan dan usaha mencari suspek dijalankan sekitar kawasan berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan terbabit menemukan longgokan kotak dibaluti plastik hitam berisi 820 karton rokok pelbagai jenama iaitu Premiro, Djarum Black, Surya Menthol dan Fit Wild dianggarkan bernilai RM64,000,” katanya dalam kenyataan.

Proton Perdana berkenaan ditinggalkan ditepi jalan Kalabakan. Gambar SNT / Ihsan PGA Tawau

Beliau berkata semua barangan berkenaan dipercayai rokok seludup dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” jelasnya. – SabahNewsToday