Pilih Bahasa

Rokok seludup dibuang ke laut elak dicekup PPM

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM38,100 dirampas PPM. – Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menemui 1,070 karton rokok seludup pelbagai jenama yang dibuang ke dalam laut oleh dua individu sebelum melarikan diri menaiki bot, di perairan daerah ini semalam. 

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata rokok pelbagai jenis bernilai RM38,100 itu dibuang ketika pihaknya mengejar bot dinaiki suspek dalam kejadian pada pukul 8.30 malam.

Dua kotak berisi rokok seludup dibuang ke laut oleh suspek yang melarikan diri menaiki bot menuju ke perairan Indonesia. – Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

“Pasukan serbuan yang sedang menjalankan risikan menghampiri sebuah bot mencurigakan namun suspek bertindak memecut bot selepas melihat kehadiran pihak polis.

“Kita kemudian melihat suspek membuang kotak berisi 1,070 rokok pelbagai jenis sebelum melarikan diri menuju ke perairan Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua barangan berkenaan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967. – SabahNewsToday