Pilih Bahasa

ROKOK TANPA CUKAI BERJUMLAH RM786,000 DIRAMPAS KASTAM ZON SABAH

Oleh Mohd Nazllie Zainul

TAWAU: Kastam Zon Sabah merampas puluhan kotak rokok putih serta kretek
dianggarkan bernilai RM95,000 dengan jumlah keseluruhan cukai sebanyak RM786,000.

Operasi dilaksanakan Unit Penguatkuasaan Kastam Semporna dan Tawau pada 1 Februari lalu menerusi hasil maklumat cawangan Risikan Kastam Zon Sabah.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Madrim Tasan (dua dari kanan) bersama Ketua Kastam Tawau, Ahmad Samad (tiga dari kanan) dan Ketua Kastam Semporna, Arsih Julhejah (kanan) menunjukkan rokok dan minuman keras yang dirampas, baru-baru ini. Gambar SNT/ Ehsan Kastam Zon Sabah

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Madrim Tasan berkata serbuan dibuat ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bubul Laut Semporna dan berjaya menahan seorang lelaki warga Filipina berusia 36 tahun yang bertanggungjawab bagi semua pemilikan barangan rampasan terbabit.

Madrim berkata dalam kejadian pada jam 2.30 petang itu, orang yang disyaki (OYDS) dilihat sedang memilkul beberapa bungkusan rokok pelbagai jenama ketika serbuan dilaksanakan.

“Hasil siasatan mendapati semua barang rampasan yang disita tidak mempunyai dakwat keselamatan, setem hasil dan amaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti dikehendaki di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Rokok putih dan kretek adalah dikelaskan di bawah kod tarif 2402.90.2000 serta 2402.20.9000 yang masing-masing tertakluk kepada duti import 20 sen sebatang selain duti eksais 40 sen sebatang.

“OYDS dipercayai sudah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang tak berkastam yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(a) akta sama,” katanya ketika sidang sedia memaklumkan berkaitan rampasan terbabit, dekat sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Madrim menyatakan OYDS boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang rampasan dan tidak lebih daripada 20 kali
ganda nilai barangan atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, beliau berkata sejak awal tahun ini, pihaknya merekodkan sebanyak 45 kes rampasan rokok dan 12 kes minuman keras melibatkan tangkapan bagi 32 kes.

“Hal ini menunjukkan Kastam Zon Sabah sentiasa memelihara keselamatan rakyat. Kita komited serta prihatin dalam usaha mematahkan sindiket penyeludupan melibatkan pelbagai komoditi terutamanya rokok mahupun minuman keras ke negeri ini

“Kastam juga akan terus memperketatkan dan memperkemaskan kawalan di semua pintu masuk serta sempadan melalui penguatkuasaan undang-undang.

“Bagaimanapun, kita meminta orang awam agar sentiasa memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat tentang sebarang aktiviti penyeludupan selain tidak membeli rokok atau minuman keras yang tidak lulus kastam,” katanya. -SabahNewsToday