Pilih Bahasa

Rokok tanpa cukai bernilai RM69,530 dirampas

Oleh Junaidi Ladjana

KUDAT: Sebanyak 1,427 bungkus rokok pelbagai jenama bernilai 69,530 tanpa cukai dirampas dalam Ops Bersepadu di Pasar Am Kudat, di sini semalam.

Operasi Bersepadu kira-kira jam 8 pagi itu dilakukan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat bersama Jabatan Kastam Kudat.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam ini memfokuskan kepada kesalahan-kesalahan mengikut Akta Kastam 1967 di Pasar Am Kudat.

Sebanyak 1,427 bungkus rokok pelbagai jenama dirampas dalam operasi bersama PPM dan Jabatan Kastam Kudat. Gambar SNT/Ihsan PPM Kudat

“Hasil pemeriksaan teliti oleh kedua-dua agensi berjaya merampas sejumlah 1,427 bungkus rokok pelbagai jenama tanpa cukai yang dipercayai dijual di sekitar pasar berkenaan.

“Semua barang rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Anggota PPM dan Jabatan Kastam Kudat merampas rokok seludup yang disembunyikan di Pasar Am Kudat. Gambar SNT/Ihsan PPM Kudat

Mohamad Pajeri berkata anggaran nilai rokok yang dirampas RM69,530 termasuk cukai.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. -SabahNewsToday