Pilih Bahasa

Ronald Kiandee berharap nasib penduduk luar bandar terus terbela dalam Bajet Persekutuan 2020

SUGUT:  Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berharap Bajet Kerajaan Persekutuan 2020 yang akan dibentangkan pada bulan Oktober depan akan terus membela nasib penduduk luar bandar.

Katanya peruntukan yang berterusan untuk luar bandar akan membolehkan lebih banyak program pembangunan dapat dilaksanakan oleh kerajaan.

Sebahagian daripada penduduk kampung yang menghadiri majlis itu. Gambar SNT/Ihsan Pejabat Perhubungan Parlimen Beluran

Beliau berkata pembinaan kemudahan jalan raya penghubung yang baik, bekalan air dan elektrik akan membantu meningkatkan sosio-ekonomi rakyat

Selain itu katanya kemudahan infrastruktur seperti sekolah dan klinik kesihatan yang sedia ada perlu dinaiktaraf oleh pihak kerajaan.

“Dengan adanya peruntukan berterusan melalui bajet tahunan kerajaan,  akan  dapat memastikan  penduduk luar bandar dapat menikmati kemudahan asas yang diperlukan,” katanya.

Ronald Kiandee yang juga Setiausaha Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berkata demikian pada Program Bersama Rakyat di Kampung Terusan Sugut, semalam.

Ronald (dua dari kanan) bersama penduduk kampung meninjau kemudahan yang diperlukan. Gambar SNT/Ihsan Pejabat Perhubungan Parlimen Beluran

Katanya rakyat dalam kawasan parlimen Beluran masih  memerlukan pembelaan berterusan daripada kerajaan. 

Serentak itu, beliau ingin melihat lebih banyak kampung di kawasan parlimennya mendapat kemudahan asas yang diperlukan. 

“Ini memandangkan jurang perbezaan pembangunan di antara bandar dan luar bandar perlu dikurangkan.

“Walaupun ke arah itu perlu mengambil masa, namun saya yakin kerajaan amat prihatin kepada penduduk luar bandar dan akan memberi peruntukan yang besar untuk tujuan itu”, tegas -SabahNewsToday