Pilih Bahasa

Ros luluskan penubuhan 1,111 cawangan Warisan di Sabah

Loretto Sipin Padua Jr. Gambar Fail SNT

KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (Ros) telah membenarkan penubuhan sejumlah 1,111 cawangan Parti Warisan Sabah (Warisan) seluruh Sabah. 

Setiausaha Agungnya, Loretto Padua berkata beliau telah menerima surat daripada Ros berkenaan dengan perkara tersebut dan telah meminta Ibu pejabat parti untuk memaklumkan kepada setiap bahagian agar ia dapat dimaklumkan kepada pemohon.

Loretto berkata mesyuarat penaja cawangan hendaklah diadakan dengan segera memandangkan Ros telah memberikan tempoh masa 90 hari untuk menghantar semua minit mesyuarat ke Ibu pejabat Ros di Putrajaya.

“Kegagalan untuk mengadakan mesyuarat dalam tempoh masa tersebut menyebabkan permohonan tersebut luput,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan semalam.

Dalam pada itu Loretto meminta agar setiap bahagian memberi kerjasama dengan memaklumkan kepada semua pemohon dan memastikan agar mesyuarat diadakan dengan tertib dan mengikut peraturan.

Katanya mereka juga boleh menghubungi Ibu pejabat parti sekiranya perlukan nasihat berkenaan peraturan.

Tambah beliau lagi sebanyak 1,111 buah cawangan tersebut adalah sebahagian daripada 3,700 buah cawangan yang telah dipohon sebelum ini dan pihak Ros akan menghantar baki senarai cawangan yang dibenarkan pada Oktober, November dan Disember tahun ini sehingga kesemua 3,700 cawangan dibenarkan sepenuhnya.

“Selepas 3,700 buah cawangan ini selesai diproses, barulah cawangan-cawangan yang baru dipohon akan diproses. 

“Pendaftaran ini adalah suatu proses yang berterusan, namun kawalan perlu diadakan kerana apa yang penting cawang yang ditubuhkan dapat menyumbang bukan sahaja kepada parti tetapi berkhidmat kepada ahli akar umbi. Kita tidak mahu cawangan yang tidak aktif,” ujarnya.

Oleh yang demikian, katanya ahli parti itu diminta bersabar kerana proses kebenaran dan kelulusan penubuhan cawangan itu dilakukan di Ibu pejabat Ros Putrajaya dan jabatan telah memberikan kerjasama yang sewajarnya. – SabahNewsToday