Pilih Bahasa

Royal Brunei perkenal penerbangan terus ke Sandakan, Tawau

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Royal Brunei Airlines bakal menggembangkan perkhidmatan penerbangannya ke laluan domestik di Sabah iaitu Sandakan dan Tawau bermula tahun ini.

Ketua Pegawai Komersialnya, Martin Aeberli berkata operasi perkhidmatan penerbangan ke Sandakan adalah pada 28 Oktober manakala Tawau pula 11 November ini dan tiket bagi dua laluan itu sudah mula dijual pada harga promosi RM265.

“Kota Kinabalu adalah destinasi Royal Brunei pertama yang mana kami beroperasi buat kali pertama pada 1975 dan sehingga kini Sabah masih lagi menjadi salah sebuah destinasi popular bagi pengguna di seluruh rangkaian RB.

“Oleh itu kami sangat teruja untuk menggembangkan perkhidmatan penerbangan RB di Sabah dengan dua lagi destinasi baharu iaitu Sandakan dan Tawau di bawah khidmat RB Link,” katanya dalam sidang media semasa mengumumkan perkara itu di Kota Kinabalu.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, William Baya dan Konsulat Brunei Darussalam di Kota Kinabalu, Mohd Asulhamhaidi Md Ashrane.

Beliau berkata penerbangan ke Sandakan dan Tawau masing-masing beroperasi tiga kali seminggu dengan hanya satu penerbangan sehari buat permulaan.

Sebelum ini Aeberli memberitahu RB telah memulakan operasi RB Link yang menghubungkan negara itu dengan destinasi di kepulauan Borneo seperti Bintulu dan Sibu di Sarawak pada 31 Julai lalu.

Sementara itu Mohd Asulhamhaidi berkata inisiatif penerbangan RB ini dapat memudahkan orang ramai untuk melawat ke negara itu menerusi Sabah.

Katanya sebelum ini penerbangan terus ke Brunei hanya melalui Kota Kinabalu, namun penduduk Sabah dan Brunei kini boleh menggunakan laluan dari Sandakan dan Tawau ke Brunei atau sebaliknya. – SabahNewsToday