Pilih Bahasa

RTP Sabah 10 tahun dilancarkan, sasar capai 40 peratus KDNK negeri

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (tengah) menunjukkan buku RTP Sabah 2021-2030 sambil diperhatinan oleh Junz (kiri) dan Setiausaha Tetap Kemententerian Pertanian dan Industri Makanan negeri, Mariana Tinggal. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini melancarkan Rangka Tindakan Pertanian Sabah (RTP) 2021-2030 sebagai inisiatif untuk memajukan sektor pertanian dan menjadikannya penyumbang lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Pelancaran RTP Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Auditorium Utama Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri yakin pelan tindakan pertanian yang dirangka khusus bagi tempoh 10 tahun itu dapat meningkatkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah sebanyak 40 peratus berbanding hanya 24 peratus pada masa ini.

Menurut beliau pertanian yang menghasilkan sumber makanan kepada pengguna adalah cukup besar apatahlagi dengan pertambahan populasi rakyat sekaligus mampu meningkatkan demand atau permintaan tinggi terhadap bekalan makanan.

Mohd Shafie (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada wakil pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri semasa mengadakan lawatan ke tapak pameran sempena pelancaran RTP Sabah 2021-2030 di PPNS. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Selain itu juga dapat memastikan negara mengurangkan kebergantungan kepada sumber bekalan makanan import seperti sayuran, daging dan tenusu yang ketika ini dianggarkan bernilai RM600 hingga RM700 juta setahun.

“Dalam cabaran ekonomi semakin kompetetif, Sabah boleh memainkan peranan sebagai pengeluar sumber pertanian utama negara kerana kita memiliki keluasan tanah yang subur dan sewajarnya dimanfaatkan untuk sektor pertanian,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran RTP Sabah, di sini hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Junz Wong; Menteri Pendidikan dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob; Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie berkata RTP itu dibangunkan seiring hala tuju dan aspirasi kerajaan baharu dalam pembangunan sektor pertanian di Sabah yang antara lain bertujuan meningkatkan produktiviti, kualiti dan kuantiti pengeluaran pertanian negeri merangkumi sektor tanaman, perikanan dan ternakan.

Mohd Shafie (tengah) mengadakan lawatan ke tapak pameran sempena pelancaran RTP Sabah 2021-2030 di PPNS. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Jelas beliau pengeluaran hasil pertanian yang produktif dan bernilai tinggi menyumbang kepada bekalan makanan yang sentiasa mencukupi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri melalui KDNK negeri.

“Diperingkat nasional, pertanian menyumbang 8.2 peratus atau RM96.0 bilion kepada KDNK pada tahun 2017. Bagi Sabah, sektor pertanian adalah teras ekonomi negeri.

“Ia menyumbang secara purata kira-kira 24 peratus kepada KDNK Sabah pada tempoh 2010 hingga 2017.  Pada tempoh 2010-2014 pula sektor pertanian adalah penyumbang kedua tertinggi kepada KDNK Sabah selepas sektor perkhidmatan.

“Pada 2018, sebanyak 0.5 juta atau 38 peratus daripada 1.3 juta jumlah tenaga buruh di Sabah adalah dalam sektor pertanian.  Oleh sebab itu, tidak dapat dinafikan bahawa sektor pertanian memainkan peranan yang sangat penting bagi Sabah untuk menjamin sumber makanan yang mencukupi bagi rakyat,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata sektor pertanian menyediakan makanan yang selamat, sumber pendapatan kepada petani, penternak dan nelayan serta merupakan salah satu sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah. – SabahNewsToday